KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan Synergy Promenade Sdn. Bhd, terhadap bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Ab Samad yang berlarutan selama tujuh tahun, selesai di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.
Syarikat pemaju hartanah itu memfailkan saman fitnah bernilai RM100 juta terhadap Shahrir dan Felda pada 4 Jun 2018 berkaitan projek KL Vertical City (Projek KLVC).
Sehubungan itu, penghakiman persetujuan antara Synergy Promenade dan Shahrir direkodkan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir dalam prosiding di mahkamah terbuka.
Penghakiman persetujuan direkodkan selepas Shahrir dan pemilik bersama Synergy Promenade, Datuk Abdul Rahman Soltan bersetuju mengeluarkan satu kenyataan bersama. Tiada perintah mengenai kos dikeluarkan.
“Saya, Shahrir, dengan ini menjelaskan saya tidak pernah berniat untuk menjejaskan integriti profesional, tingkah laku, dan kejujuran Synergy Promenade serta para pengarahnya berkaitan Projek KLVC.
“Selain itu, saya menerima dan mengesahkan memorandum persefahaman (MOU) bertarikh 15 Januari 2018 adalah sah, mempunyai kesahan yang kukuh, dan tidak terjejas oleh sebarang faktor yang boleh membatalkannya.
“Saya juga menerima dan mengesahkan transaksi berkaitan pemindahan tanah Felda di bawah perjanjian jual beli (SPA) dan surat kuasa wakil (PA), serta pemindahan semula kepada Felda di bawah MOU, adalah telus, sah, dan bebas daripada sebarang faktor yang boleh membatalkannya,” kata Shahrir dalam kenyataan bersama yang ditandatanganinya bersama Abdul Rahman.
Kenyataan itu dibacakan oleh Shahrir di mahkamah terbuka semalam.
Susulan penghakiman persetujuan ini, Synergy Promenade menarik balik tuntutannya terhadap Shahrir dan Felda.
Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Shahrir, manakala Simon Murali dan Amrit Pal mewakili Synergy Promenade, dan Kumar Kanagasingam mewakili Felda.
Perkembangan kes itu disahkan oleh Amrit kepada pihak media, hari ini.
Bagaimanapun, tindakan saman fitnah Synergy Promenade terhadap New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan pihak lain masih diteruskan.
Synergy Promenade memfailkan saman fitnah bernilai RM100 juta terhadap Shahrir dan Felda pada 4 Jun 2018.
Dalam saman itu, Synergy Promenade menyaman Shahrir yang ketika itu Pengerusi Felda, berhubung dakwaan mengeluarkan beberapa kenyataan fitnah antara Disember 2017 hingga Mac 2018 yang disiarkan dalam beberapa media massa, laman sosial Facebook dan YouTube serta portal berita.
Synergy Promenade, yang berpangkalan di Shah Alam, terbabit dalam pemindahan 16 lot tanah di Jalan Semarak, berkeluasan 16.06 ekar (6.5 hektar) dan bernilai RM270 juta, kepada dirinya sendiri dan syarikatnya, Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd, melalui empat perjanjian pada 2 Disember 2015 dan 7 November 2016.
Syarikat itu juga memfailkan saman serupa terhadap NSTP, yang telah disatukan dengan perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar. – MalaysiaGazette