MELAKA – Kementerian Kerja Raya (KKR) mahu satu laporan lengkap insiden kemalangan yang meragut nyawa dua beradik di Jalan Felda Inas–Bandar Tenggara, Kluang, Johor, Jumaat lepas disiapkan dalam minggu ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, andai laporan itu tidak dapat disiapkan sebelum Aidilfitri ini, ia tidak memerlukan masa sehingga sebulan untuk melengkapkan laporan penuh itu.

“Saya minta (laporan lengkap) dalam masa terdekat, tak perlu sampai satu bulan pun.

“Kalau boleh sebelum raya tapi saya tak nak menggesa supaya saya nak laporan itu ada integriti bukan semata-mata dibuat begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi ke ke syarikat konsesi penyelenggaraan jalan persekutuan di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi Jumaat lalu, dua beradik masing-masing berusia 16 dan 17 tahun meninggal dunia selepas motosikal dinaiki mereka terlanggar lubang.

Norhazim Kamaruzaman dan adiknya, Nur Alif Ikhwan ketika itu dalam perjalanan ke sekolah dan meninggal dunia lokasi kejadian kerana parah di kepala dan badan.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, laporan itu mestilah dibincang melibatkan semua pihak yang bertanggungjawab.

“Saya minta post moterm dibuat Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor bersama syarikat selia (konsesi) dan juga di peringkat mana-mana pihak lain yang sepatutnya bersama berbincang.

Post moterm ini supaya kita mengetahui lebih mendalam apa sebenarnya terjadi dan bagaimana kita nak buat penambahbaikan dari segi urusan, kerja-kerja memperbaiki kerosakan jalan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast