Shadan (tengah) melihat tapak konkrit yang dibina secara haram oleh peniaga burger di simpang masuk ke taman perumahan di Lereh.

MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memberi amaran kepada semua penjaja tapak haram dalam pentadbirannya supaya tidak mengambil kesempatan di sebalik kes ‘Pakcik Petai’ sehingga membahayakan keselamatan orang ramai.

Datuk Bandarnya, Datuk Shadan Othman berkata, penguat kuasaa MBMB sentiasa mengamalkan sikap tolak ansur dalam setiap tindakan namun perlu tegas dengan kesalahan peniaga yang  memberontak dan melakukan provokasi untuk kepentingan diri.

“Saya perasan bila timbul isu ‘penjaja Abang Petai’ baru-baru ini, ramai penjaja di jalanan cuba melakukan provokasi sentimen serupa sedangkan selama bertahun-tahun perniagaan mereka tidak pernah diganggu.

“Ini termasuklah dalam kes terbaru di Lereh minggu lalu, kita terpaksa keluarkan notis kepada peniaga burger berusia 50-an kerana membina tapak konkrit gerai di simpang masuk ke taman perumahan.

“Selama ini dia sudah lebih tiga tahun berniaga di situ dan tidak pernah dihalang tetapi janganlah melampau sangat sampai tahap buat tapak konkrit kekal di simpang jalan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Jumaat lalu, tular video menunjukkan seorang peniaga petai bertindak membuang barang jualannya di jalan raya kerana tidak dibenarkan berniaga yang berlaku di hadapan sebuah pasar raya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Video itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet dengan sebahagian besar meluahkan rasa simpati terhadap peniaga berusia 67 tahun itu.

Mengulas lanjut Shadan berkata, apa yang mengecewakannya apabila peniaga burger di Lereh itu sanggup menjadikan kes ‘Pakcik Petai’ sebagai ‘contoh’ dan mengadukan perkara itu kepada Exco negeri kononnya untuk meraih simpati.

“Walaupun kerajaan negeri amalkan sikap mesra penjaja, ini bukan bermakna mereka boleh berniaga sesuka hati di mana sahaja tanpa memikirkan keselamatan orang lain.

“Jangalah salahkan penguat kuasa yang sudah puas bertoleransi sehingga sanggup menggunakan sentimen lain untuk ‘menghalalkan’ apa yang haram,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here