Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan JL99, Datuk Seri BK Jeff Lee.

KUALA LUMPUR – Kisah perjalanan hidup pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff BK Lee bukan sekadar cerita kejayaan tetapi satu inspirasi buat rakyat Malaysia yang berdepan cabaran hidup.

Majlis pelancaran biografi beliau baru-baru ini, Journey To Success terbitan Sin Chew Daily menjadi medan untuk berkongsi kisah perjuangan luar biasa seorang insan yang pernah hidup dalam kesempitan sebelum mengecap kejayaan.

Dihadiri rakan, warga JL99 Group dan pembeli rumah syarikatnya, majlis itu bertukar sayu apabila Jeff berkongsi detik-detik sukar zaman kecilnya.

Menurut Jeff, beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin, membesar di rumah papan kecil yang sempit buat keluarganya.

Malah makanan bukan sesuatu yang boleh dipilih kerana kadangkalahanya nasi dengan kicap menjadi santapan utama.

“Ada masanya, kalau teringin sup, saya hanya minum air kosong,” katanya dalam nada sebak.

Tulis beliau dalam bukunya pula, bapanya hanya seorang pemandu teksi manakala ibunya bekerja sebagai pembantu rumah dan membeli rumah atau kereta hanyalah impian yang jauh dari genggaman.

Malah cita-cita menyambung pelajaran ke peringkat tinggi juga terkubur kerana kesempitan hidup.

Namun di sebalik kepayahan itu, ada satu perkara yang tidak pernah padam dalam dirinya, harapan untuk terus berjaya dalam kehidupannya.

“Saya tahu saya miskin tetapi saya juga tahu saya tidak perlu miskin selamanya,” tegasnya.

Jeff belajar berdikari sejak kecil, beliau bekerja siang dan malam bermula sebagai tukang jahit sebelum terlibat dalam dunia automotif, menjual kereta Proton ketika itu. 

Usaha kerasnya membuahkan hasil apabila beliau muncul sebagai penjual terbaik, membuka laluan untuknya terjun ke dunia perniagaan hartanah.

Puncak kejayaannya hadir apabila JL99 Group berjaya membangunkan pelbagai projek perumahan termasuk pembangunan semula Razak Mansion di Sungai Besi.

Projek itu mengubah kediaman lama yang usang menjadi pangsapuri moden dan lebih selesa bagi keluarga berpendapatan rendah.

“Saya mahu orang lain merasai apa yang saya tidak pernah ada dulu rumah yang selesa dan kehidupan yang lebih baik. Razak Mansion bukan sekadar projek perumahan, ia adalah simbol harapan,” katanya.

Sejak penubuhan JL99 Group pada 1995, Jeff berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan pasaran hartanah dan impak pandemik Covid-19.

Namun syarikat itu terus berkembang dengan membangunkan projek perumahan eksklusif mampu milik yang dilengkapi pelbagai fasiliti moden selain terus berjuang melaksanakan projek pembangunan semula bagi golongan tidak berkemampuan.

“Kita mungkin lahir dalam kesusahan tetapi kita punya pilihan untuk tidak kekal di situ. Selagi kita tidak berhenti berusaha, selagi itu masih ada harapan,” ujarnya.

Jeff kini bukan sahaja membina empayar perniagaan tetapi turut memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia bahawa kejayaan bukan sekadar mimpi tetapi boleh dicapai dengan usaha dan keyakinan yang tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here