Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hadir membuat tinjauan kesiapsagaan operasi kecemasan sempena Aidilfitri dan sahur bersama petugas di Jabatan Kecemasan, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang. Foto MOHD ADZLAN, 27 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan pelaksanaan semula sistem pemilihan penempatan pegawai perubatan menerusi ePlacement antara Mei hingga Jun akan memberi keadilan kepada semua pihak.

Menterinya, Datuk Seri Dzlkefly Ahmad berkata, penangguhan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kebajikan dan empati terhadap pegawai perubatan yang membuat permohonan.

“Memang ada pelbagai permintaan, kita tahu dari suatu kumpulan tapi seperti mana yang disebutkan oleh KP (Ketua Pengarah) dan saya sendiri menerusi kenyataan semalam, kita akan melakukan yang terbaik untuk benar-benar memberikan keadilan, empati kami, kebajikan yang perlu kita jaga dan pelbagai faktor.

“Ia bukan satu yang mudah tetapi saya yakin akan datang kita akan dapatkan penyelesaian terbaik,” katanya ketika ditemui semasa membuat lawatan kerja ke Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) di Hospital Sultan Idsri Shah (HSIS), di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas gesaan Gabungan Pegawai Perubatan Malaysia supaya KKM mengekalkan keputusan pemilihan penempatan (ePlacement) melibatkan 2,245 calon pegawai perubatan yang dibuat pada 27 Februari lalu selepas dibatalkan baru-baru ini.

Lawatan tersebut turut merangkumi lawatan beberapa hospital sebelum ini seperti Hospital Tunku Azizah, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tanjong Karang.

Dzulkefly turut meluangkan masa bersama kakitangan perubatan dan pesakit di hospital berkenaan.

Beliau turut menyampaikan pek makanan untuk bersahur untuk kakitangan hospital itu.

Sementara itu, Zulkefly berkata, Jabatan Kecemasan & Trauma (ETD) di seluruh negara akan beroperasi dengan jumlah kakitangan penuh sepanjang Aidilfitri nanti.

Jelas beliau, ia persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Petugas kesihatan yang bekerja pada waktu pagi pada bulan Ramadan di Jabatan Kecemasan, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang. Foto MOHD ADZLAN, 27 MAC 2025.

“Penting untuk hospital kita terutamanya Jabatan Kecemasan dan Trauma untuk beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh ini. kesihatan dan keselamatan rakyat harus sentiasa dipelihara,” tambahnya.

Pada lawatan yang dilakukannya, Dzulkefly meninjau operasi SBMSys iaitu system digital bagi Unit Pengurusan Katil yang dibangunkan secara alaman oleh Unit Teknologi Maklumat (IT) HSIS.

Ia digunakan untuk memastikan pesakit dari ETD tidak menunggu terlalu lama untuk dimasukkan ke wad bagi tujuan pemantauan atau rawatan seterusnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here