SEPANG – Sebuah pesawat AirAsia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shenzhen terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini, akibat enjin terbakar.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, masalah enjin pesawat Airbus, A320-216 itu dikesan juruterbang sebaik sahaja berlepas jam 9.59 malam, semalam.
“JBPM menerima panggilan kecemasan jam 10:37 malam dan sepasukan sembilan anggota serta sebuah jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA segera digerakkan ke lokasi.
“Ketika kejadian, pesawat masih berlegar di udara dan berjaya mendarat di landasan tiga, KLIA2 pada jam 12.08 tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata, hasil siasatan awal mendapati, kebakaran itu berpunca daripada kerosakan pada Pneumatic Ducting (sistem paip atau tiub yang digunakan untuk mengalihkan material atau udara dengan menggunakan udara mampat atau vakum) pesawat.
“Api telah dipadamkan oleh sistem Halon dalam pesawat sebelum pesawat mendarat,” katanya.
Sementara itu, katanya, kesemua 171 penumpang dan anak kapal berada dalam keadaan selamat dan operasi penyelamatan telah berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
“Seterusnya anggota bertindak membantu mengeluarkan mangsa daripada pesawat dan memastikan tiada lagi punca api sehingga selesai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette