KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah lupa kepada pengkhianatan, manipulasi politik dan serangan Perikatan Nasional (PN) khususnya pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin berkata, kenyataan lunak kononnya Bersatu sedia bekerjasama dengan UMNO tidak mungkin boleh melenyapkan pengkhianatan mereka sebelum ini.
“UMNO bukan parti pelupa. Kami parti berprinsip. Luka yang ditinggalkan bukan sekadar pada pimpinan tetapi kepada seluruh akar umbi dan penyokong setia,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Bersatu bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan musuh ketatnya, UMNO demi mencapai matlamat perjuangan politik.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tiada sebab bagi UMNO dan Bersatu untuk terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik sama.
Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian ketika menjadi tetamu siri audio siar Keluar Sekejap dihoskan oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Zulfadli menegaskan, UMNO juga bukan parti yang menutup pintu perpaduan secara membuta tuli.
“Tetapi perpaduan mestilah berpaksikan kejujuran, keinsafan dan keikhlasan, bukan kerana terdesak kehilangan sokongan atau kuasa politik kian merosot.
“Fokus kami sekarang bukan untuk melayan sentimen politik sempit yang berputar pada paksi sama,” katanya.
Menurut Zulfadli, UMNO kini sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang sah, stabil dan sedang bekerja keras membina semula negara.
“Inilah kerjasama sebenar antara parti yang bersetuju untuk berbeza, tetapi tetap bersatu demi kestabilan, pembangunan dan masa depan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, katanya lagi, tiada keperluan untuk UMNO kembali berpaut kepada mana-mana pihak yang pernah menikam dari belakang.
“Kami percaya bahawa kekuatan hari ini lahir daripada keberanian belajar daripada sejarah dan kesungguhan membina masa depan. Kepada yang datang membawa salam kerjasama, jangan hanya tahu berbisik ketika terdesak.
“Buktikan dahulu bahawa anda benar-benar insaf dan berprinsip, bukan sekadar mahu hidup semula atas bahu orang lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette