APM siap siaga diatur gerak ke misi menyelamat di Myanmar Foto APM

KUALA LUMPUR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap siaga untuk melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Myanmar susulan gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud yang mengakibatkan kemusnahan teruk di beberapa kawasan di negara itu semalam.

Menurut Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed, pihaknya bersedia untuk menggerakkan ‘Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA)’ bagi membantu operasi SAR serta menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa yang terjejas.

Ia merupakan pasukan yang terdiri daripada anggota terlatih yang berpengalaman dalam pengurusan bencana, termasuk pegawai perubatan, penyelamat, serta pakar logistik.

“Kami bersedia sepenuhnya untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Myanmar yang terjejas akibat bencana ini.

“Pasukan kami telah dilengkapi dengan peralatan khas bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta menyalurkan bantuan kecemasan dengan pantas dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, APM turut dilengkapi aset canggih seperti ‘Leader Sentry’ untuk mengesan kestabilan struktur bangunan, ‘Leader Hasty’ yang menggunakan teknologi tanpa wayar bagi mengesan mangsa tertimbus, serta ‘Lighting Drone’ sebagai pencahayaan kecemasan dan pemantauan video dalam operasi malam.

Setakat ini, gempa bumi berkenaan meragut 1,002 nyawa, mencederakan 2,376 orang serta menyebabkan 30 individu masih hilang, menurut Pasukan Penerangan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar.

Banyak bangunan dilaporkan mengalami kerosakan dan operasi menyelamat sedang giat dijalankan, menurut laporan media antarabangsa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast