KUALA LUMPUR – Seorang pemandu wanita ditumbuk seorang lelaki selepas didakwa melanggar anaknya yang sedang melintas jalan dalam kejadian di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang, Negeri Sembilan semalam.
Kejadian itu tular menerusi sebuah video berdurasi 22 saat yang menunjukkan lelaki berkenaan menyerang wanita terbabit yang masih berada di dalam kenderaan yang dipandunya.
Difahamkan, insiden berlaku selepas kanak-kanak tersebut melintas jalan bersama keluarganya.
Lelaki itu yang berada di belakang dikatakan berang dan bertindak agresif selepas menyedari anaknya dilanggar secara tidak sengaja.
Menurut adik mangsa, kejadian berlaku ketika kakaknya baru keluar dari simpang bazar dengan kelajuan sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam (km/j).
Penglihatan wanita itu dikatakan terhalang oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapannya.
“Kakak saya baru keluar simpang bazar dan dia bawa perlahan saja dalam 20 ke 30 km/j dan ada kereta di depannya, saiznya besar telah halang pemanduan.
“Keluarga itu sedang melintas tapi lelaki itu di belakang manakala anak-anak dan isteri di depan. Langgar pun perlahan saja sebab kereta tak pandu laju,” katanya dikongsi di media sosial.
Bapa kanak-kanak yang didakwa dilanggar itu kemudian bergegas ke hadapan kenderaan sebelum mengalihkan anaknya ke tepi jalan.
Bagaimanapun, lelaki itu sekali lagi dilihat cuba menumbuk pemandu wanita yang cuba mengelak dan masuk ke dalam kereta namun cuba dihalang seorang lagi lelaki yang berada di lokasi.
“Kakak kemudian buka pintu tapi lelaki itu terus kepak sampai rosak pintu dan kunci kereta. Kemudian dia tumbuk kepala kakak saya.
“Kakak saya terus minta maaf tapi mungkin dia tak boleh terima jadi dia tumbuk kali kedua,” katanya.
Tindakan lelaki tersebut mengundang kecaman warganet yang menyifatkan ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan anak-anak ketika melintas jalan.
Ramai pengguna media sosial turut menggesa wanita itu membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.
Adik mangsa memaklumkan, laporan polis telah dibuat sejurus kejadian selain mendakwa kakaknya turut ditendang di bahagian perut. – MalaysiaGazette