KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Upper Lanang, Sibu, Sarawak malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 10.37 malam.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, setibanya di lokasi, pasukan penyelamat hanya menemukan motosikal mangsa namun tiada sebarang petunjuk mengenai keberadaannya.
Operasi pencarian kemudian diteruskan dengan penemuan mayat mangsa pukul 12.10 tengah malam selepas paras air di parit mulai surut.
Mangsa kemudian disahkan telah meninggal dunia di lokasi sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette