Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah agar para peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bertanggungjawab dalam menjalankan peranan masing-masing.

Titah baginda, para peniaga perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan manakala penguatkuasa pula mesti berhemah dalam tindakan yang diambil dan disertai budi bicara tanpa melibatkan kerosakan mahupun kecederaan.

“Apa jua bentuk urusniaga yang dijalankan perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah disediakan antaranya peniaga perlu memohon lesen atau permit perniagaan manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) pula perlu menyediakan tempat yang khusus dan selamat untuk semua pihak.

“Apabila tiba pada suatu isu atau permasalahan, ia perlu diselesaikan dengan cara yang paling wajar serta tidak melibatkan sebarang kekecohan apatah lagi kecederaan,” titahnya menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.

Sementara itu, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah meluangkan masa menziarahi peniaga belon yang terlibat dalam insiden dengan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat lalu.

Sumber: Kesultanan Pahang

Muhammad Zaimuddin Azlan yang lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’, 28, kini dirawat di Hospital Serdang akibat kecederaan selepas bergelut dengan penguatkuasa yang difahamkan cuba merampas barang jualannya.

Simpati dengan keadaan yang menimpa pemuda dari Jerantut itu, Tengku Arif Bendahara yang tiba pada pukul 12.30 tengh hari bertanya keadaan kesihatan beliau dan menyampaikan kurniaan peribadi Sultan Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here