Pelakon, Emma Maembong bersama bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar dan anak-anak mereka.

KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal, Emma Maembong, mengakui sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini berbeza buat dirinya, namun tetap berusaha menjadikannya istimewa demi kebahagiaan anak-anak.

Menurut Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 33, dia dan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar, sepakat untuk  beraya bersama agar anak-anak mereka tidak merasakan sebarang perubahan atau kekurangan dalam keluarga.

“Tahun ini sedikit berbeza kerana saya bermula dengan beraya bersama keluarga, kemudian dengan keluarga sendiri, dan kini kembali beraya dengan keluarga lagi.

“Namun, apa yang paling penting, saya beraya untuk anak-anak. Mereka semakin membesar dan sudah mula meminta duit serta baju raya,” katanya.

Emma turut memaklumkan mereka telah mengatur giliran untuk menyambut Aidilfitri bersama anak-anak.

“Pada pagi raya, saya akan membawa anak-anak beraya di rumah bekas suami, dan selepas itu, dia pula akan ikut beraya di rumah kami,” katanya lagi.

Meskipun telah berpisah, hubungan Emma dan bekas suami masih baik, dan mereka terus berkomunikasi demi memastikan kesejahteraan anak-anak.

“Walaupun ada rasa perbezaan, ia tidak terlalu janggal kerana kami masih rapat. Kami tiada masalah untuk terus berhubung, malah sebelum ini kami turut bertemu bagi membeli baju raya anak-anak bersama,” jelasnya.

Emma turut berkongsi bahawa sejak awal lagi mereka telah bersepakat untuk mengekalkan hubungan baik agar anak-anak tetap merasakan kasih sayang kedua-dua ibu bapa.

“Saya pernah berbincang dengan bekas suami, walau apa pun yang terjadi, setiap tahun kita perlu mengambil gambar keluarga bersama. Ini penting supaya anak-anak tahu bahawa tiada apa yang berubah,” katanya.

Sebagai individu yang turut mengalami situasi perceraian ibu bapa, Emma memahami kepentingan menjaga emosi anak-anak.

“Saya datang dari keluarga yang ibu bapa bercerai, jadi saya faham perasaan itu. Pernah sekali saya terpaksa melukis sendiri gambar keluarga kerana tidak pernah berpeluang bergambar bersama secara lengkap.

“Saya tahu bagaimana perasaan seorang anak yang mengimpikan keluarga sempurna,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here