KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melarang orang ramai agar tidak menerbangkan dron di kawasan berlakunya kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Puchong, Selangor.
Larangan ini bertujuan bagi mengelak sebarang kejadian tidak dingini terutamanya membabitkan aspek keselamatan dan sekuriti orang ramai serta pasukan penyelamat yang sedang menjalankan operasi pemantauan udara di lokasi kejadian.
Menurutnya, lokasi kejadian ini juga terletak di laluan kritikal penerbangan.
Justeru, larangan ini adalah penting bagi memastikan keutamaan diberikan kepada keselamatan pesawat yang sedang beroperasi.
CAAM ingin mengingatkan sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Civil Aviation Directives (CADs). – MalaysiaGazette