KUALA LUMPUR – Beberapa penduduk di sekitar kejadian kebakaran saluran paip gas di Puchong berkongsi detik cemas kejadian itu menerusi platform media sosial hari ini.
Seorang penduduk Azizee Bos Abul berkata, penduduk Puchong dan Putra Heights dihujani batu pasir dan debu ekoran kejadian tersebut.
Malah katanya, bunyi api dari kebakaran itu juga terlalu kuat dan disifatkan sangat dahsyat.
Sementara itu, Julia Shapiee berkata, pintu rumahnya di Puchong turut bergegar seolah-olah dilanda gempa bumi.
Katanya, dia sekeluarga juga segera keluar dari kawasan Puchong ekoran kejadian tersebut.
Hanita Ahmad pula berkata, bahang akibat kebakaran tersebut turut dapat dirasainya meskipun berada di dalam kereta dan dari jarak yang jauh dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar mengesahkan kejadian kebakaran itu melibatkan stesen minyak Petronas di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor.
Menerusi laporan awal JBPM, terdapat beberapa mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dengan seramai tujuh orang mangsa termasuk dua warga emas telah diselamatkan.
Sementara itu, beberapa buah rumah di kawasan berdekatan juga dikatakan turut terbakar ekoran kejadian itu, namun JBPM belum dapat mengesahkan jumlah sebenar. – MalaysiaGazette