KUALA LUMPUR – Empat lelaki tempatan ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dilancarkan polis bagi membanteras penyebaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian
Operasi itu dijalankan di Selangor dan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada tindakan serentak yang melibatkan enam negara membabitkan Malaysia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Korea Selatan, dan Jepun.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi yang dikenali sebagai Cyber Guardian dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta menggunakan bantuan unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan peranti elektronik yang menyimpan bahan haram tersebut.
Di Malaysia, operasi ini menyasarkan beberapa lokasi termasuk lima kawasan di mana di Selangor melibatkan kawasan Kajang, Ampang Jaya, Petaling Jaya dan Shah Alam serta satu lokasi di Timur Laut, Pulau Pinang.
Dalam serbuan yang dilakukan, empat lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 49 tahun ditahan.
“Suspek pertama, seorang lelaki berusia 49 tahun, ditangkap di Kajang. Sementara itu, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di Ampang Jaya, diikuti oleh seorang lagi lelaki berusia 41 tahun di Petaling Jaya. Manakala di Shah Alam, seorang lelaki berusia 28 tahun turut diberkas.
“Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam penyebaran serta penyimpanan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak melalui platform perkongsian fail secara peer-to-peer dan kumpulan media sosial seperti Telegram,” katanya.
Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan terdiri daripada penjawat awam, akauntan, web designer dan seorang protege.
Hasil siasatan mendapati mereka menggunakan pelbagai peranti elektronik termasuk komputer riba, telefon pintar, cakera keras dan iPad untuk mengakses serta menyimpan bahan tersebut.
Setakat ini, dua daripada suspek telah dihadapkan ke mahkamah.
“Seorang individu yang ditahan di Petaling Jaya telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda sebanyak RM3,000.
“Manakala seorang lagi suspek dituduh di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan turut mengaku bersalah, lalu dikenakan denda sebanyak RM6,000,” tambahnya.
Pihak berkuasa menegaskan bahawa siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti lebih banyak individu yang terlibat dalam jenayah ini, selain memperkukuh usaha penguatkuasaan untuk mengekang penyebaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak secara dalam talian. – MalaysiaGazette
















