KUALA LUMPUR – Fatwa jihad bersenjata Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia terhadap Israel merupakan suara kekecewaan umat Islam terhadap kegagalan masyarakat antarabangsa menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) berkata, seruan umat Islam di seluruh dunia untuk bangkit mempertahankan rakyat Palestin termasuk menerusi bentuk jihad bersenjata adalah suara hati umat Islam.
Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata, pembunuhan lebih 50,000 rakyat Palestin dan lebih 115,000 lagi cedera menjadikan keadaan di Gaza satu tragedi kemanusiaan yang tidak boleh lagi diabaikan.
“Serangan terbaharu di kawasan Shuja’iyya, Bandar Gaza, sekali lagi memperlihatkan kekejaman sistematik terhadap orang awam, termasuk wartawan dan pasukan bantuan yang turut menjadi mangsa. Ini bukan sekadar konflik, ia adalah malapetaka kemanusiaan,” tegas beliau.
Pertubuhan bukan kerajaan itu turut melahirkan bimbangan terhadap pembentukan Morag Corridor oleh tentera Israel.
Koridor itu merupakan satu zon yang memotong Semenanjung Gaza kepada beberapa bahagian yang bukan sahaja menyekat pergerakan rakyat Palestin malah secara melumpuhkan sistem sokongan kemanusiaan dan menjejaskan penyampaian bantuan.
Morag Corridor yang diumumkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada 2 April lalu merupakan strategi sistematik untuk memecahkan struktur sosial dan geografi Gaza sekali gus menekan perjuangan rakyat Palestin untuk kemerdekaan.
“MAHAR berdiri teguh bersama rakyat Gaza. Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia, NGO, agensi kerajaan dan rakan antarabangsa untuk menyertai misi bantuan kami, menyumbang dan menyebarkan mesej solidariti serta keadilan.
“Kita mungkin jauh di mata, namun kita perlu dekat di hati, bersatu dalam tindakan dan kemanusiaan.” ujar beliau
Serentak itu MAHAR menggesa perpaduan negara-negara Islam untuk menekan Israel agar menghentikan pembunuhan penduduk Gaza termasuk mengkaji semula hubungan diplomatik dan perjanjian damai yang membolehkan kezaliman terus berlaku.
Pelaksanaan boikot menyeluruh terhadap produk dan syarikat yang menyokong atau bersekongkol dengan rejim Israel juga perlu diteruskan.
Mobilisasi jihad harta perlu disuburkan dengan menggalakkan rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa menyumbang secara langsung kepada misi bantuan kemanusiaan seperti makanan, air, ubat-ubatan dan tempat perlindungan. – MalaysiaGazette