KUALA LUMPUR – Insiden letupan letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada 1 April lalu memberi kesan terhadap bekalan gas dan elektrik di zon tengah dan zon utara.
Suruhanjaya Tenaga berkata, gangguan bekalan gas berlaku di Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar serta di beberapa kawasan lain.
Menurutnya, pengguna yang terkesan telah menerima notis sekatan daripada pembekal masing-masing sehingga 20 April.
Katanya, bekalan gas masih ada dalam kuantiti yang terhad dan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan kritikal seperti hospital dan penjanaan elektrik serta keperluan untuk menstabilkan tekanan paip gas.
Insiden terbabit turut menyebabkan gangguan bekalan gas kepada empat stesen janakuasa utama di Lembah Klang iaitu Stesen Janakuasa (SJ) Connaught Bridge, SJ Pulau Indah, SJ Sultan Salahuddin Abdul Aziz dan SJ Putrajaya.
Bagaimanapun bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia dalam keadaan stabil dengan beberapa langkah mitigasi telah dan akan diambil.
Ini termasuk pengoperasian secara optimum stesen-stesen janakuasa sedia ada termasuk penjanaan berasaskan arang batu; kesiapsediaan pengoperasian stesen janakuasa yang terkesan menggunakan distillate fuel dan MFO.
Tindakan termasuk pemantauan permintaan dan perancangan penjanaan yang lebih terperinci merangkumi pelbagai senario risiko.
“Langkah-langkah mitigasi interim sedang diteliti secara berterusan. Pihak ST juga akan menganjurkan sesi libat urus dengan pengguna-pengguna yang terjejas dalam tempoh terdekat ini.
“Insiden letupan paip gas ini merupakan insiden terpencil di Semenanjung Malaysia.
“Oleh itu, pihak ST menyeru pihak-pihak yang terlibat untuk terus bekerjasama dan kepada semua pengguna untuk sentiasa mengutamakan keselamatan serta memastikan penggunaan tenaga secara berhemah agar dapat menangani impak secara kolektif bagi kesejahteraan bersama,” katanya.
Jelas beliau tindakan diambil turut meibatkan beberapa entiti operasi termasuk Grid System Operator, Single Buyer, Gas Malaysia Berhad, Penjana bebas, Petronas dan TNB Fuel Sdn. Bhd.
Katanya, pihak terbabit memantau secara terperinci situasi pembekalan elektrik dan gas di Semenanjung Malaysia dengan mengambil kira pelbagai senario sehingga keadaan pulih.-MalaysiaGazette