Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kematian ibu bersalin di Malaysia menurun dengan ketara daripada 210 kematian untuk setiap 100,000 kelahiran pada 1963 kepada 26 kematian pada tahun 2022.

Nisbah kematian ibu menjadi cerminan utama tahap kesihatan wanita serta keupayaan sistem penjagaan kesihatan dalam menyediakan akses dan perkhidmatan berkualiti kepada para ibu.

Sambutan Hari Kesihatan Sedunia (WHO) 2025 hari ini membuka peluang untuk Malaysia berkongsi pencapaiannya dalam meningkatkan tahap kesihatan ibu dan bayi.

Kempen bertemakan ‘Permulaan yang sihat, masa hadapan penuh harapan’ menggesa semua negara untuk memperbaharui komitmen mereka dalam menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti bagi setiap ibu dan setiap bayi yang baru lahir.

Wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr. Rabindra Abeyasinghe menyatakan, walaupun pencapaian Malaysia sangat memberangsangkan namin usaha berterusan masih diperlukan untuk mengurangkan kadar kematian ibu ketika bersalin.

“Kita mempunyai kudrat untuk mengubahnya. WHO komited untuk bekerjasama dengan rakan strategik dan Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan akses penjagaan kesihatan dan juga bagi memastikan transformasi kualiti penjagaan kesihatan yang diterima oleh wanita dan bayi yang baru lahir,” katanya.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 Malaysia, 98.1% wanita hamil menjalani sekurang-kurangnya empat lawatan antenatal.

Lebih tiga perempat daripada jumlah tersebut mendapatkan pemeriksaan awal iaitu pada trimester pertama dan hampir semua kelahiran berlaku di fasiliti kesihatan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, wawasan kementerian adalah jelas bahawa setiap ibu dan bayi berhak mendapat permulaan terbaik dalam kehidupan.

“Ini adalah asas kepada kempen ‘Permulaan yang sihat, masa hadapan penuh harapan’. Kami bertekad untuk menjayakan usaha bersama dengan WHO dan pemegang taruh lain dalam menangani kematian ibu dan bayi yang boleh dicegah.

“Selain itu, kami kekal dengan komitmen untuk mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan wanita dalam jangka panjang, memastikan kesihatan untuk semua selaras dengan semangat inklusif di bawah kerangka Malaysia MADANI kerajaan ini,” katanya.

Pada tahun 2018, Malaysia menjadi antara negara pertama di bawah WHO Rantau Pasifik Barat menghapuskan penularan HIV dan sifilis dari ibu ke anak.

Malaysia terus memperkukuh penjagaan kesihatan ibu dengan inisiatif baharu yang dirancang bermula tahun 2025 dan tahun-tahun seterusnya dengan tumpuan kepada kesejahteraan fizikal dan mental.

Inisiatif merangkumi pemberian vaksin Tdap kepada wanita hamil untuk melindungi bayi yang baru lahir daripada pertussis (batuk kokol), serta pelaksanaan saringan Hepatitis B bagi membolehkan pengesanan awal dan rawatan yang mengurangkan risiko penularan jangkitan daripada ibu kepada anak.

Malaysia kekal komited untuk meningkatkan kesihatan ibu dan kanak-kanak dengan memastikan pemakanan yang mencukupi antara buktinya, kadar anemia dalam kalangan ibu hamil berkurangan daripada 29.3% (2016) kepada 19.3% (2022).-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast