SUBANG JAYA – Pertubuhan Perdana Nasional (PPN) dengan kerjasama Pertubuhan Impian Kemajuan Negara (IKN) menyerahkan 80 kotak simpanan kepada mangsa letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini semalam.
Pengerusinya, Danial Rafiq Mohd Pathil berkata, bantuan itu bertujuan untuk menyediakan ruang simpanan lebih sistematik dan bersih bagi keperluan peribadi serta barangan asas sepanjang tempoh mangsa berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“PPN dan IKN telah menjalankan Misi Bantuan Ad-Hoc Bencana Fasa 02 di mana Skuad Anak Malaysia (SATRIA) membantu mengagihkan kotak simpanan kepada mangsa di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan PPS Dewan Camelia.
“Ia bagi memastikan setiap kotak simpanan itu diterima keluarga mangsa yang memerlukan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, di sini pada hari kedua Hari Raya Aidilfitri menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke PPS.
Kebakaran saluran paip gas milik Petronas sepanjang 500 meter yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.
Menurut Danial Rafiq, misi itu susulan kepada Misi Bantuan Fasa 01 yang telah dijalankan lebih awal pada 3 April lalu bersama Gerak Remaja 4B Wilayah Persekutuan dan Negeri Selangor, Kelab Anak Muda Seputeh, Jantzen serta Gerakan Belia 4B (M) Kawasan Segambut dan Seputeh.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PPN bersama rakan kerjasama dalam memberi sokongan segera dan bersasar kepada komuniti yang terkesan akibat bencana.
“PPN dan IKN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma, penyumbang logistik dan petugas lapangan yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan misi ini.
“Kerjasama erat antara pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti setempat amatlah dihargai demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, lebih-lebih lagi dalam saat-saat krisis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette