KUALA LUMPUR – Pas menzahirkan sokongan terhadap fatwa Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia mengenai keadaan di Gaza termasuk melaksanakan jihad bersenjata di Palestin.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketegasan yang diambil oleh kesatuan itu selari dengan pendirian dan seruan parti yang konsisten dalam isu Palestin.
“Fatwa ini bukan sahaja menjunjung tinggi prinsip-prinsip Islam yang menuntut keadilan dan pembelaan terhadap umat yang tertindas, malah ia juga merupakan satu seruan yang tegas dan syar’i kepada seluruh dunia Islam untuk bangkit melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.
Isi penting fatwa yang perlu diberikan perhatian serius menurut Abdul Hadi, adalah kewajipan berjihad dengan senjata bagi setiap muslim yang berkemampuan demi membebaskan Palestin daripada penjajahan.
Kewajipan campur tangan ketenteraan segera oleh negara-negara Arab dan Islam untuk menghentikan pencerobohan serta mempertahankan rakyat Palestin.
Tanggungjawab mengepung entiti Zionis dari segala arah darat, laut dan udara termasuk menutup laluan air, selat dan ruang udara yang berada dalam kawalan negara-negara Islam.
Fatwa itu turut mengharamkan tindakan membekalkan minyak dan gas kepada pihak penjajah yang menindas rakyat Palestin serta sebarang jalina normalisasi dengan zionis yang merampas hak dan maruah umat Islam.
Kewajipan berjihad dengan harta untuk membantu penduduk du Gaza serta mendesak pembukaan laluan sempadan untuk bantuan kemanusiaan.
“Pas menyeru seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia untuk bersama-sama menginsafi dan menghayati isi kandungan fatwa ini, serta memperkasakan usaha membantu saudara kita di Palestin melalui doa, sumbangan, pendidikan dan apa jua cara yang termampu.
“Kita tidak boleh lagi berdiam diri atau sekadar menjadi pemerhati kepada kezaliman yang berlaku. Ini adalah medan ujian bagi keimanan dan maruah umat Islam seluruhnya Palestin, perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim,” tegas Abdul Hadi.
Israel telah membunuh lebih 50,000 penduduk Palestin di Gaza dengan sebahagian besar adalah kanak-kanak dan wanita selain memusnahkan infrastuktur wilayah itu.
Terkini Israel melanggar gencatan senjata dan melancarkan serangan membunuh orang awam di Gaza yang kini tidak lagi mempunyai tempat perlindungan.- MalaysiaGazette