Gambar kunjungan ke kuil yang dikongsi oleh Nushi di media sosial.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz mempertahankan kehadirannya ke kuil Arulmigu Dewi Sri Karumariamman Alayam baru-baru ini.

Beliau yang menjawab teguran seorang pemilik akaun bernama Ab Jalil Backer berkata, kunjungan itu bagi membalas kehadiran penganut agama berkenaan yang menghadiri majlis berbuka puasa anjurannya.

“Terus terang, saya tidak sangka mendapat respons seperti ini daripada seorang seperti Saudara Jalil Backer. Mereka hadir semasa majlis iftar anjuran kami tempoh hari. Hari ini, mereka pula menjemput saya ke program mereka.

“Saya telah hadir atas jemputan tersebut dengan sangat hati-hati untuk tidak terlibat dengan sebarang ritual. Saudara Jalil mahu ke mana arah hubungan kita dengan komuniti India?” soal ADUN Pas itu.

Jalil sebelum itu membuat komen ‘makin pelik politik Melayu Islam sekarang’ dan meminta pemimpin politik Islam daripada mana-mana parti berhenti menjadikan kebiasaan menghadiri upacara keagamaan agama lain.

Malah dia berharap pemimpin politik bukan Islam turut berhenti mempergunakan masjid dan acara agama Islam sebagai sebahagian kegiatan politik mereka.

Terdahulu tular gambar Nushi membuat kunjungan ke sebuah kuil dan selendang kuning cair, ponnadai dan kalungan bunga.

Beliau sebelum itu berkongsi foto kujungan itu di media sosial dan menjelaskan, pemakaian terbabit adalah imbol sambutan dan persahabatan dalam budaya masyarakat India khususnya komuniti Tamil.

Katanya, kehadiran itu bukan untuk menyertai ritual keagamaan tetapi untuk menyantuni masyarakat beragama Hindu yang juga sebahagian daripada warga Semenyih.

Tambah beliau, sebahagian besar masa lawatan dihabiskan untuk berdialog dan mendengar sendiri harapan serta perancangan pihak kuil untuk komuniti setempat.

Kehadirannya membuka ruang yang amat penting untuk membina kefahaman dua hala tanpa prejudis atau tanggapan luar.

“Ini bukan sebahagian daripada sebarang ritual, dan saya langsung tidak terlibat dalam apa-apa bentuk ibadah atau simbol keagamaan, seperti postur menyembah (namaskaram), pemakaian tanda di dahi, menuang susu ke dalam periuk tanah atau penyertaan dalam upacara.

“Saya percaya, masyarakat majmuk seperti kita hanya akan kuat bila ada ruang untuk saling mengenal, saling faham dan saling menghormati. Bila wakil rakyat dekat dengan rakyat tanpa mengira kaum atau agama, itulah bibit kepada negara yang benar-benar bersatu,” jelasnya.

Beliau berharap langkah kecil yang dilakukan menyumbang kepada iklim Semenyih yang harmoni dan saling percaya antara satu sama lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bukan ke dah ada ayat pendek sangat jelas mengatakan mereka dgn ugama mereka, kita dgn agama kita. Tak usahlah menyebuk dengan agama mereka.

    Semoga Allah SWT melaknati mereka yang suka mempersendakan Islam.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here