KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) yakin memperoleh kemenangan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan mampu dikecapi melalui usaha terancang, semangat setiakawan dan komitmen tinggi anggota parti yang seterusnya memacu kemajuan dan kesejahteraan seluruh masyarakat di Ayer Kuning.
“Selain membincangkan strategi menawan hati pengundi untuk memilih calon BN, saya turut menggesa agar semua jentera di peringkat cawangan, pusat daerah mengundi (PDM) bahagian dan negeri Aagkat untuk terus bergerak dengan penyelarasan tersusun dan disiplin tinggi.
“KPI (Petunjuk Prestasi Utama) setiap PDM mesti dipantau secara berterusan bagi menangkap imaginasi dan sokongan para pengundi,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk PRK N.48 Ayer Kuning di Kampar Perak.
Mesyuarat bagi mempertahankan kemenangan BN DUN Ayer Kuning diadakan bersama seluruh kepimpinan BN negeri dan bahagian, komponen UMNO, MCA, MIC dan Friend of BN.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK DUN terbabit diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.- MalaysiaGazette