Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour bersama Gabenor Bank Negara Kemboja, Chea Serey, menunjukkan QR selepas pelancaran rangkaian pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dan Kemboja di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 08 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Kejayaan jalinan pembayaran QR (respons pantas) rentas sempadan dengan Kemboja memberi inspirasi kepada Bank Negara Malaysia untuk mengembangkannya ke negara ASEAN lain.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini Malaysia akan terus memacu agenda rangkaian pembayaran untuk memperluas impak di seluruh Asia Tenggara.

Tambahnya, keutamaan Malaysia pada 2025 adalah untuk menambah bilangan jalinan pembayaran yang melibatkan negara anggota ASEAN serta menggalakkan penggunaan perkhidmatan secara lebih meluas dalam kalangan pengguna.

“Kejayaan ASEAN melaksanakan jalinan pembayaran bergantung pada kerjasama yang teguh daripada semua pihak, bukan sahaja dalam kalangan bank pusat tetapi juga antara sektor awam dengan swasta.

“Untuk tujuan ini, kami berharap agar kerjasama dengan National Bank of Cambodia berhubung dengan inisiatif rangkaian pembayaran dapat diteruskan, termasuk dalam pengawasan kerjasama serta dalam bidang pembayaran rentas sempadan lain seperti mata wang digital bank pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa melancarkan fasa 2 jalinan pembayaran QR rentas sempadan dengan Kemboja yang diwakili Gabenor National Bank of Cambodia (NBC) Dr. Chea Serey.

Pelancaran berlangsung serentak dengan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN di sini hari inii.

Jelasnya, usaha kolektif rangkaian pembayaran dijangka akan meningkatkan ekonomi setiap negara dan ASEAN secara keseluruhan.

“Dengan memudahkan pembayaran yang lancar, kita menyediakan pemangkin utama untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan serantau serta menawarkan penyelesaian pembayaran digital yang dikenali dan selamat kepada pelancong.

“Yang penting, jalinan ini akan memupuk rangkuman kewangan yang lebih besar, iaitu memperkasakan lebih 7 juta peniaga di Kemboja dan Malaysia untuk mengakses kumpulan pelanggan yang lebih luas.

“Memandangkan kebanyakan peniaga ini merupakan PKS mikro dan kecil, kita juga meningkatkan penyertaan ekonomi dalam kalangan mereka yang menjadi tulang belakang ekonomi,” katanya.

Tambah beliau tahun lalu sebanyak 5.2 juta transaksi pembayaran QR rentas sempadan dicatatkan, iaitu peningkatan empat kali berbanding tahun sebelumnya sekali gus menyerlahkan nilai yang diberikan oleh perkhidmatan ini kepada pengguna dan peniaga.

Fasa pertama kerjasama dengan Kemboja dilancarkan pada September tahun lalu dengan pengguna dari Malaysia membuat pembayaran secara segera kepada peniaga di Kemboja dengan mengimbas KHQR menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih milik institusi kewangan peserta.

Pengguna dari Kemboja yang mengunjungi Malaysia pula terus membuat pembayaran menggunakan aplikasi Bakong dengan mengimbas DuitNow QR Malaysia.

BNM dan NBC bekerjasama rapat dengan rakan kongsi tempatan untuk membolehkan jalinan pembayaran QR dua hala ini.

Rakan kongsi termasuk Maybank sebagai bank penaja dan bank penyelesaian, Payments Network Malaysia (PayNet) serta institusi kewangan peserta dari kedua-dua negara.

Jalinan pembayaran QR dua hala ini sejajar dengan G20 Roadmap for Enhancing Cross-border Payments.

Jalinan ini juga menyokong keutamaan Kepengerusian ASEAN Malaysia di bawah tema “Keterangkuman dan Kelestarian”.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here