SUBANG JAYA – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak pernah menyorok sebarang kematian dalam kes yang disiasat termasuk insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini, 1 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan seumpama itu tidak memberi sebarang manfaat kepada pihak berkuasa itu.
“Menyorok kematian adalah sama sekali tidak benar, pihak polis tidak pernah menyorok apa-apa kematian di Malaysia. Pihak polis pun tidak ada manfaat untuk menyorokkan sebarang kematian.
“Jika ada mana-mana ahli keluarga dakwaan yang kata ada kematian, tampil ke balai untuk buat laporan polis,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian, di sini, hari ini.
Hussein juga meminta orang ramai khususnya netizen agar tidak membuat tuduhan tidak berasas kerana ia boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Saya minta dia jangan buat tuduhan sembarangan yang tidak berasas, menggusar ataupun merisaukan lagi orang ramai.
“Jadi pihak polis dan agensi-agensi bersama ini telus. Setiap agensi terlibat membuat dokumentasi secara individu, jadi masing-masing akan buat laporan, pemeriksaan dan siasatan.
“Jadi tiada apa yang perlu dilindungi dan saya pun sudah beritahu,” katanya.
Selain itu, katanya, pihak polis sedang melihat dan menyiasat daripada pelbagai sudut termasuk faktor mekanikal, alam sekitar, operasi, keselamatan dan pemantauan.
“Kalau faktor mekanikal ini, dia melihat sebab-sebab kemungkinan runtuhan, hakisan dan kerosakan akibat aktiviti manusia.
“Manakala faktor alam sekitar melihat hakisan bawah tanah, pergerakan air bawah tanah dan sebagainya yang boleh menyebabkan paip itu pecah.
“Faktor operasi pula melihat ke arah tekanan berlebihan, peralatan yang tidak diselenggara dan juga pengisian berlebihan.
“Faktor keselamatan pula, pemantauan sistem pengesanan kebocoran yang tidak berfungsi ataupun kelewatan mengesan kebocoran dan sebagainya tidak dapat dikesan,” katanya. – MalaysiaGazette