Seorang anggota polis parah akibat tertembak dirinya sendiri dalam kejadian di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis sedang menyiasat dakwaan koperal yang cedera parah akibat tertembak diri sendiri dalam kejadian di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, semalam mempunyai masalah hutang dan mengalami kemurungan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa berusia 58 tahun itu masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

“Mangsa belum sedarkan diri dan keadaannya masih kritikal ketika ini.

“Kita juga dalam proses merakamkan keterangan keluarga mangsa untuk membantu siasatan dan mereka baru tiba dari ibu negara kira-kira jam 1.30 pagi tadi,” katanya hari ini.

Ketika diminta mengulas dakwaan mangsa mengalami kemurungan serta mempunyai masalah hutang, Hamzah berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan pelbagai sudut termasuk dakwaan tersebut.

“Kita belum kenal pasti punca mangsa bertindak sedemikian dan kita sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Henti spekulasi anggota polis tertembak diri sendiri – Hamzah

Terdahulu, Hamzah memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 berhubung insiden anggota polis tertembak dirinya sendiri dalam kejadian kira-kira jam 6.12 petang semalam.

Katanya, anggota yang bertugas di cawangan Kem Komandan itu didapati melepaskan satu das tembakan menggunakan pistol jenis P99 dalam milikannya.

Mangsa berusia 58 tahun itu dikatakan bertugas sebagai penyelia pos berkenaan bermula jam 8 pagi hingga 4 petang namun dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas selesai tugas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here