Teo Nie Ching.

KULAI – Kira-kira 40 individu termasuk pelajar sekolah menjadi mangsa penyebaran gambar lucah palsu yang dihasilkan secara suntingan menggunakan teknologi ‘deepfake’, babitkan sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Seorang mangsa iaitu bekas pejar sekolah berkenaan mendedahkan perkara tersebut kepada Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dengan menghubungi pejabatnya diikuti seorang lagi ahli keluarga kepada mangsa lain.

Nie Ching berkata, mangsa terdiri daripada bekas pelajar serta pelajar sekolah berkenaan termasuk ada dalam kalangan mangsa berusia 14 tahun.

“Kami dimaklumkan terdapat beberapa kumpulan dalam media sosial yang menyebarkan gambar-gambar yang telah dimanipulasi secara digital.

“Kemungkinan masih ada mangsa yang belum menyedari bahawa gambar mereka telah digunakan dan disebarkan tanpa kebenaran,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook rasmi miliknya.

Nie Ching berkata, seramai tujuh orang mangsa telah dibantu pegawai dari pejabat beliau untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi turut menyeru agar mana-mana individu yang menjadi mangsa tampil membuat laporan dan tidak berdiam diri.

“Insiden ini bukan sahaja satu pencabulan serius terhadap privasi dan maruah peribadi, tetapi juga berpotensi meninggalkan trauma psikologi yang mendalam kepada para mangsa.

“Sama ada anda perlukan nasihat guaman, sokongan emosi atau hanya seseorang untuk mendengar, hubungilah pejabat kami. Kami sedia membantu,” ujarnya.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan seorang remaja lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan menyunting gambar lucah menggunakan wajah mangsa dan mengedarkannya di media sosial untuk dijual kepada orang awam.

Katanya, suspek berusia 16 tahun itu ditahan reman sejak semalam sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut dijalankan.

Mengulas lanjut, Nie Ching memberitahu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga telah diminta bekerjasama rapat dengan pihak polis bagi mempercepat siasatan.

Beliau mengingatkan media dan pengguna media sosial agar berhati-hati dalam mengendalikan sebarang maklumat berkaitan mangsa bagi mengelakkan pendedahan identiti yang boleh mengakibatkan trauma lebih teruk.

“Penyalahgunaan teknologi deepfake sebagai antara ancaman digital yang paling membimbangkan masa kini.

“Kementerian Komunikasi telah meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di Parlimen tahun lalu untuk memperkukuh peruntukan terhadap kesalahan ini,” jelasnya.

Mereka yang disabit kesalahan menyebarkan kandungan lucah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya. Jika melibatkan kanak-kanak, hukuman penjara boleh mencecah lima tahun.

Penjualan kandungan lucah pula boleh dihukum denda sehingga RM1 juta atau penjara lima tahun, manakala pesalah bawah umur akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here