Antara kenderaan yang terlibat dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Jalan Tun Jugah berhadapan Gala City, Kuching, Sarawak malam tadi.

KUALA LUMPUR –  Dua lelaki maut manakala seorang remaja perempuan cedera parah dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Jalan Tun Jugah berhadapan Gala City, Kuching, Sarawak malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, kemalangan berlaku pukul 12. 40 tengah malam apabila sebuah kenderaan dipandu lelaki berusia 37 tahun hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Menurutnya, kenderaan terbabit kemudiannya merempuh sebuah lagi kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun yang datang dari arah bertentangan bersama penumpang perempuan berusia 14 tahun.

“Sejurus selepas kemalangan itu, sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah Jejambat Kenyalang dan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun melanggar kenderaan pertama yang terbabas di tengah jalan serta pemandu dan penumpang kenderaan kedua yang cuba memberikan bantuan,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Merbin, akibat perlanggaran, kenderaan ketiga itu terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah lagi kenderaan dipandu lelaki berusia 36 tahun yang turut berhenti untuk membantu mangsa kemalangan.

“Nahas itu mengakibatkan dua mangsa maut di lokasi kejadian, iaitu pemandu kenderaan pertama dan pemandu kenderaan kedua,” katanya.

Sementara itu, remaja perempuan berusia 14 tahun yang merupakan penumpang kenderaan kedua mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Pemandu kenderaan ketiga dan keempat pula hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here