Lima warga Pakistan, Khaistar Nawab (kiri), Rafiqullah (dua kiri), Amir Nawab (tengah), Bakhmunir (dua kanan) dan Jaffar Ali (kanan) bergambar bersama selepas sidang media berkenaan video viral lima orang warga Pakistan itu yang menyelamatkan mangsa di sungai pada tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights ketika di ALFARO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 10 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Lima warga Pakistan yang menjadi wira dalam tragedi letupan saluran gas di Putra Heights di Subang Jaya baru-baru ini menerima penghargaan khas sebagai mengiktiraf keberanian dan tindakan luar biasa mereka menyelamatkan lebih 30 nyawa mangsa.

Khaista Nawab, 50, Bakht Munir, 37, Amir Nawab, 47, Rafiq Ullah, 25, dan Jaafar Ali, 40, masing-masing menerima sijil dan anugerah khas daripada Kedutaan Besar Pakistan di Malaysia yang disampaikan di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif ALFARO, Farooq Ahmed Khan (tengah) bergambar kenangan selepas sidang media berkenaan video viral lima orang warga Pakistan yang menyelamatkan mangsa di sungai pada tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights ketika di ALFARO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 10 APRIL 2025.

Kesemua mereka berasal dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan dan telah menetap serta bekerja di sekitar ibu negara sejak tujuh hingga 20 tahun lalu. 

Khaista yang bekerja sebagai buruh berkongsi semula detik cemas di mana dia pada awalnya bercadang untuk menyelamatkan diri bersama pasportnya semasa kejadian. 

Namun niat itu berubah apabila dia melihat penduduk dalam keadaan panik dan masing-masing berlari menyelamatkan diri. 

Menyedari tanggungjawab untuk membantu, dia dan rakan-rakan memutuskan untuk mengambil tindakan berani.

Lima warga Pakistan, Khaistar Nawab (kiri), Rafiqullah (dua kiri), Amir Nawab (tengah), Bakhmunir (dua kanan) dan Jaffar Ali (kanan) menunjukkan sijil penghargaan selepas sidang media berkenaan video viral lima orang warga Pakistan itu yang menyelamatkan mangsa di sungai pada tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights ketika di ALFARO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 10 APRIL 2025.

“Kami mengambil masa lebih sejam untuk membantu penduduk termasuk kanak-kanak yang terpaksa menyeberangi Sungai Klang selebar 40 meter menuju ke kawasan selamat di Kampung Seri Aman kira-kira satu kilometer dari lokasi kebakaran.

“Saya fikir, kenapa perlu lari? Kiamat nanti akan ditanya juga. Harus bantu orang walau nyawa sendiri jadi taruhan.

“Tindakan kami tidak memikirkan nyawa sendiri tetapi lebih kepada tanggungjawab kita sebagai manusia untuk membantu orang lain,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alfaro, Farooq Ahmed Khan berkata, keberanian mereka mencerminkan semangat kemanusiaan yang tinggi dan perlu dijadikan contoh kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif ALFARO, Farooq Ahmed Khan (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media berkenaan dengan lima warga Pakistan yang menyelamatkan mangsa di sungai ketika tragedi gas bocor di Putra Heights di ALFARO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 10 APRIL 2025.

Beliau yang turut menghulurkan sumbangan kepada para wira berkenaan  mengakui niat utamanya bukan untuk mencari publisiti sebaliknya untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan. 

“Saya masa itu outstation, saya lihat video mereka di TikTok. Sebab saya tahu mereka sangat miskin tetapi di Pakistan, apabila ada orang yang susah, tidak kira siapa, selagi dia seorang muslim, kita merasa tanggungjawab untuk membantu. 

“Itulah darah kita, kita mesti tolong. Jadi, apabila saya melihat mereka, saya bertekad untuk berjumpa dengan mereka.

“Saya panggil mereka datang dan akhirnya saya dapat bertemu dengan mereka. Mereka bercerita bahawa ketika kejadian, semua orang sudah lari tetapi mereka tetap memilih untuk menyelamatkan nyawa orang lain, walaupun dalam keadaan sangat bahaya.

“Mereka tahu ada bahaya seperti buaya dalam air tetapi mereka tidak memikirkan itu. Yang mereka fikirkan adalah menyelamatkan nyawa budak-budak, wanita, dan orang tua yang terperangkap,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini

Menurut Farooq, sebagai tanda penghargaan, pihaknya memberi bantuan kewangan serta barangan keperluan lain kepada lima hero tersebut.

Beliau turut menganggap lima hero warga Pakistan berkenaan sebagai contoh kemanusiaan yang perlu dicontohi oleh masyarakat. 

Dalam pada itu, lima individu tersebut turut mendapat penghargaan daripada Kedutaan Pakistan di Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka. 

“Saya bagi mereka bunga dan juga sumbangan ringgit. Saya kata, apa-apa masalah di Malaysia, sila datang kepada saya. Kalau ada yang nak kerja, saya pun akan ambil mereka. Saya sangat gembira dan bangga dengan mereka,” tambah Farooq.

Katanya, kisah keberanian dan keikhlasan para wira ini diharapkan dapat menginspirasikan masyarakat untuk sentiasa menolong sesama, tanpa mengira latar belakang atau risiko yang terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here