Oleh: Mohamad Aiman Ashraff Mohd Zamri
DENGAN begitu pantas, bulan Ramadan telah melabuhkan tirainya bagi tahun ini. Beruntunglah bagi mereka yang memanfaatkan “Madrasah Ramadan” sebagai suatu medan latihan dalam mendidik serta melatih diri mereka menjadi insan yang lebih baik dan bertaqwa agar sentiasa mentaati dan menuruti segala tuntutan dan kehendak syarak.
Mereka yang tidak merebut keistimewaan “Madrasah Ramadan” ini benar-benar dalam kerugian, sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud “Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin , amin”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”. [HR Ibn Hibban].
Oleh demikian itu, orang yang keluar dari Ramadan tanpa keampunan dianggap rugi dan celakalah dia. Hal ini kerana Ramadan adalah suatu bulan yang penuh dengan peluang keampunan dan rahmat dari Ilahi. Maka tidak wajarlah seseorang itu melepaskan peluang yang ada untuk meraih keampunan dan rahmat dari Ilahi.
Kemudian datanglah Syawal sebagai bulan kemenangan bagi mereka yang berjaya melawan serta menundukkan hawa nafsu, meningkatkan ketaqwaan dan memperbanyakkan amal ibadah sepanjang sebulan berpuasa. Inilah kemenangan yang hakiki bagi mereka yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh sebulan Ramadan dalam melakukan perkara ketaatan dan meninggalkan perkara yang sia-sia.
Ganjaran Allah SWT buat mereka sudah jelas lagi nyata seperti mana yang disebutkan dalam sebuah hadis yang berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu”(HR Bukhari).
Apabila masuk sahaja bulan Syawal, banyak perkara sunat yang dianjurkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Antaranya ialah melakukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Ini berdasarkan sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim). Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis di atas menyebut hadis ini menjadi dalil bagi mazhab Syafie disunatkan berpuasa enam hari di bulan Syawal.
Puasa enam hari di bulan Syawal ini boleh dimulakan paling pada 2 Syawal. Hal ini kerana umat Islam dilarang untuk berpuasa pada tanggal 1 Syawal kerana Islam menetapkan hari raya sebagai waktu umat Islam meraikan kemenangan setelah beribadah (puasa Ramadan atau ibadah haji). Perkara ini bertepatan dengan hadis yang bermaksud “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada hari Aidilfitri dan Aidiladha (HR Al-Bukhari). Maka nyatalah tidak boleh berpuasa pada 1 Syawal kerena larangan ini jelas dalam hadis
tersebut.
Terdapat dua cara untuk melaksanakan puasa enam di bulan Syawal. Pertamanya ialah dengan cara berpuasa secara berturutan selepas hari pertama syawal selama enam hari. Ini adalah kaedah yang afdal dilakukan oleh umat islam kerana melewatkannya akan menimbulkan rasa malas sedangkan bersegera melakukan amal kebaikan adalah sesuatu perkara yang baik. Adapun cara yang kedua ialah dengan cara tidak berturut-turut atau berselang-seli. Ia boleh dilakukan sama ada dengan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis atau hari-hari lainnya dalam bulan Syawal.
Justeru kita boleh sahaja memilih mana-mana hari di bulan Syawal untuk melakukan puasa enam selama mana masih di bulan Syawal. Secara keseluruhannya, puasa enam boleh sahaja dilakukan secara berturutan atau dipisahkan. Begitu juga ia boleh diawalkan atau dilewatkan selama mana masih berada dalam bulan Syawal, maka ia tidak menjadi masalah.
Terdapat banyak fadhilat serta kelebihan bagi mereka yang berpuasa enam hari di bulan Syawal. Antaranya ialah mendapat pahala seolah-olah berpuasa seperti setahun. Perkara ini jelas disebut dalam hadis di atas. Seterusnya ialah puasa enam dapat menampung kelompongan yang berlaku dalam puasa Ramadan dari segi keikhlasan, kelalaian, penjagaan hati dan lain-lain. Maka puasa enamlah yang datang melengkapkan lagi kekurangan-kekurangan tersebut sebagaimana solat sunat yang menampung kekurangan bagi ibadah solat wajib kita.
Selepas itu, puasa enam juga dapat melatih diri untuk istiqomah dalam meneruskan ibadah-ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadan. Ini boleh diteruskan lagi dengan ibadah-ibadah yang pelbagai seperti membaca serta mentadabbur al-Quran, mendirikan solat-solat sunat, melakukan puasa-puasa sunat seperti puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat hari putih dan lain-lain. Secara tidak langsung, ia akan dapat mengawal gaya pemakanan dan menyihatkan lagi tubuh badan kita daripada pelbagai penyakit.
Di samping itu, dengan berpuasa enam juga dapat menunjukkan rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT. Ini kerana kita telah dipilih untuk memasuki satu bulan yang penuh keberkatan, keampunan dan kerahmatan daripada Ilahi iaitu bulan Ramadan. Oleh demikian itu, rasa syukur dan berterima kasih wajarlah kita zahirkan kepada Allah SWT atas kurniaan tersebut. Justeru, wajarlah umat islam mengejar sedaya upaya untuk melaksanakan ibadah puasa enam ini dalam masa yang berbaki.
Akhir sekali, rebutlah peluang dan ruang yang ada dihadapan kita selagi mana mampu.Banyak orang yang ingin melaksanakan pelbagai ibadah tetapi tidak mampu kerana pelbagai halangan sama ada dari sudut kesihatan, kelapangan waktu dan lain-lain. Justeru, maksimumkan usaha dan tenaga dalam meraih rahmah dan kasih sayang Allah SWT dengan melaksanakan bukan sekadar ibadah yang wajib, tetapi dihiasi juga dengan ibadah-ibadah sunat yang menyinarkan lagi ibadat wajib kita seperti puasa sunat enam di bulan syawal yang telah disenaraikan pelbagai fadhilat dan kelebihannya.
Penulis adalah mahasiswa tahun akhir, Universiti al-Azhar,
Kaherah, Mesir.