KUALA LUMPUR — Selepas hampir tiga dekad disimpan rapi, kapsul masa yang ditanam di Menara Kuala Lumpur pada tahun 1996 bakal dibuka secara rasmi oleh negarawan negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada majlis sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 13 April ini.
Majlis yang bertemakan ‘Raikan Raya Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad’ anjuran Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) dan dijangka menjadi detik bersejarah bukan sahaja kerana sambutan Aidilfitri tetapi juga kerana pembukaan kapsul masa yang menyimpan mesej dan dokumen penting ketika beliau meminpin negara.
Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh berkata, majlis tersebut dibiayai sepenuhnya oleh pihak pengurusan sebagai tanda penghargaan kepada seluruh warga kerja MKLSB serta menghormati jasa Dr. Mahathir sebagai tokoh penting yang mencorakkan pembinaan menara ikonik negara itu.
“Kapsul masa berkenaan ditanam pada 1 Oktober 1996 bersempena perasmian Menara Kuala Lumpur dan sepatutnya dibuka pada tahun 2020.
“Namun, berikutan pelbagai faktor termasuk pandemik Covid-19, pembukaan kapsul tersebut terpaksa ditangguhkan.
“Kunci kepada kapsul tersebut telah dijaga dengan penuh amanah oleh Ketua Pegawai Operasi MKLSB, Encik Affandi Abdullah, selama lebih 28 tahun — satu simbol dedikasi dalam menjaga warisan negara,” katanya dalam sidang media, di Menara KL, hari ini.

Menurutnya, pihak pengurusan MKLSB telah bertemu Dr. Mahathir untuk menyerahkan semula kunci kapsul masa tersebut pada 4 April lalu.
“Susulan itu, beliau menyatakan hasrat untuk hadir sendiri melihat keberadaan kapsul masa tersebut, dan bersetuju untuk membukanya sendiri sempena majlis sambutan Aidilfitri,” tambahnya.
Pembukaan kapsul masa di Menara Kuala Lumpur bukan sahaja membangkitkan nostalgia era Wawasan 2020, tetapi juga menghubungkan semula generasi kini dengan sejarah pembangunan negara yang pesat dan progresif.
MKLSB memaklumkan bahawa majlis tersebut terbuka kepada orang awam, khususnya bekas warga kerja syarikat itu dan mengajak rakyat Malaysia hadir menyaksikan detik penuh simbolik itu secara langsung. – MalaysiaGazette