Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Pencerobohan tanah sama ada untuk membina rumah ibadat mahupun untuk membuka ladang durian bukan satu isu perkauman.

Sebaliknya menurut Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, pencerobohan tanah merupakan satu kesalahan yang perlu diselesaikan mengikut undang-undang.

Tegas beliau, jika sekali pun masjid dibina di atas tanah milik orang lain rumah ibadat itu perlu dirobohkan kerana jelas menceroboh harta orang lain.

“Menceroboh tanah ini isu kesalahan undang-undang. Tidak kena mengena dengan isu perkauman!

“Baik dari isu kuil, tanah haram durian mahupun apa pun yang menceroboh tanah orang lain itu kesalahan undang-undang dan perlu diselesaikan mengikut undang-undang.

“Jika ada masjid sekali pun yang dibuat atas tanah orang lain, maka ia tetap salah!” tegas beliau.

Semalam satu lagi kes melibatkan pembinaan kuil peribadi di atas tanah yang diwartakan milik Masjid Baru Dengkil.

Penduduk mendakwa pembinaan kuil tersebut dibuat secara tidak sah oleh penduduk tempatan dan tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani mencadangkan agar Jabatan Agama Islam Selangor segera memasang pagar di kawasan berkenaan bagi mengelakkan sebarang pencerobohan semula.

Katanya, tanah itu diwartakan sebagai tapak Masjid Baru Dengkil sejak tahun 2012.

Dalam satu hantaran terbaharu di Facebook, Pengerusi JPKK Dengkil turut memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Ia adalah insiden terbaharu melibatkan pencerobohan tanah selepas insiden Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India dan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya yang menyebabkan seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim maut.

Sementara itu, sebuah portal melaporkan dakwaan sekumpulan pekebun durian yang mendakwa kerajaan melanggar perintah mahkamah apabila bertindak menebang pokok musang king di Raub, Pahang.

Bagaimanapun Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berkata, dakwaan Save Musang King Alliance (SAMKA) yang mendakwa kerajaan Pahang bertindak bertentangan dengan keputusan mahkamah adalah tidak berasas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here