Jurulatih Perunding Insurans, Zuriati Mohamed Yusoff hadir keputusan rayuan pertuduhan menipu dan 25 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah RM1.8 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 11 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Seorang jurulatih perunding insurans kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini daripada satu pertuduhan menipu dan 25 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah RM1.8 juta.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak rayuan pendakwa raya terhadap pembebasan Zuriati Mohamed Yusoff, 51.

Oleh yang demikian, hakim berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 10 Mac 2023 yang mendapati wanita itu tidak bersalah terhadap kesemua 26 pertuduhan.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Muhammad Jamil bersetuju dengan keputusan hakim bicara yang menerima pembelaan responden.

Beliau berpuas hati bahawa wang RM1.8 juta bukan hasil pembelian polisi insurans saksi pendakwaan kelima (SP5), sebaliknya wang yang didahulukan oleh suami tertuduh, Mohd. Zubir Ismail yang juga SP6 bagi urusan perdagangan emas.

Dalam kes itu, SP5 ialah pengadu kes manakala perdagangan emas itu diarahkan oleh SP1 (penasihat kewangan SP5).

“Hakim bicara sudah menimbang pembelaan responden dan berpuas hati ia berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah pada kes pendakwaan,” ujar beliau.

Bagi kesalahan pengubahan wang haram pula, responden tidak pernah mempertikai penerimaan wang RM1.8 juta.

“Isunya sama ada wang itu hasil aktiviti haram atau tidak. Dalam perbicaraan, tiada keperluan bagi responden untuk disabitkan dahulu bagi kesalahan predikat.

“Dalam kes ini, tiada kesalahan predikat dilakukan, jadi tidak mungkin dikatakan wang itu hasil aktiviti haram.  Rayuan pendakwaan ditolak,” ujar Hakim Muhammad Jamil.

Jurulatih Perunding Insurans, Zuriati Mohamed Yusoff hadir keputusan rayuan pertuduhan menipu dan 25 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah RM1.8 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 11 APRIL 2025.

Pada prosiding itu, Zuriati diwakili peguam Nur Syafiqa Balqish Jaffri manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Halijah Mohd.  Khalid.

Bagi pertuduhan menipu, Zuriati didakwa memperdaya seorang lelaki dalam urusan pembelian enam polisi insurans yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa memberi wang RM1.8 juta yang mana kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Raja Chulan di sini, pada 21 Mei 2018.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Mengikut pertuduhan pengubahan wang haram pertama, Zuriati sebagai bekas pengarah syarikat Millionaire Synergy Sdn.  Bhd. didakwa menerima wang sejumlah RM1,849,719.75 hasil  aktiviti haram.

Dalam empat pertuduhan seterusnya, Zuriati didakwa menggunakan wang antara RM20,000 hingga RM90,000 melalui empat cek berbeza sebagai bayaran kepada diri sendiri dan seorang lagi individu yang lain.

Bagi 20 pertuduhan berikutnya, dia didakwa memindahkan wang berjumlah RM10,000 hingga RM435,080 kepada diri sendiri, sebuah syarikat dan seramai 17 individu berasingan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 21 Mei dan 6 Julai 2018 di sebuah bank tempatan di Kota Damansara, Petaling Jaya, dekat sini.

Bagi semua pertuduhan berkenaan, Zuriati didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here