BALIK PULAU – Tangkapan sepasang kekasih yang aktif dalam pengedaran ganja di sekitar daerah Barat Daya membawa kepada pembongkaran dua lelaki warga asing dalang pembekalan bahan terlarang tersebut.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, lelaki berusia 42 tahun dan teman wanitanya, 38, diberkas di sebuah rumah di Kampung Permatang Damar Laut di sini, jam 11 pagi semalam.
Jelas beliau, berpandukan pada maklumat tangkapan pertama, polis menyerbu sebuah rumah jam 3.30 petang di kediaman di Lengkok Pemanchar, Gelugor dekat sini.
“Hasil serbuan membawa kepada tangkapan seorang lelaki etnik Rohingya berusia 25 tahun dan lelaki warga Bangladesh berumur 30 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut dalam rumah tersebut, kita merampas ganja seberat 12.8 kilogram bernilai RM38,493.

“Turut disita, dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan Wave serta sebuah kereta jenis Toyota Camry bernilai RM13,500. Secara keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bernilai RM51,993,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Sazalee berkata, hasil siasatan lanjut mendapati pasangan kekasih warga tempatan itu mendapatkan bekalan ganja daripada dua lelaki warga asing berkenaan.
Kata beliau, kesemua suspek aktif kegiatan ini sejak awal tahun dan satu kilogram ganja itu dibeli daripada pembekal pada harga RM1,200 dan dijual dengan anggaran RM3,000.
“Siasatan juga mendapati dua warga asing itu aktif dalam pengedaran dadah di daerah Timur Laut manakala pasangan berkenaan di daerah Barat Daya.
“Warga asing itu tidak mempunyai pekerjaan lain manakal lelaki tempatan yang beralamat di Kelantan itu merupakan peniaga.
“Semakan lanjut juga mendapati pasangan tempatan itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah selain ujian air kencing turut mendapati masing-masing positif.
“Manakala warga asing itu tidak memiliki rekod lampau namun lelaki warga Bangladesh itu positif dadah,” katanya.
Tambah beliau, suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette