Datuk Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengakui beliau turut meluangkan masa menonton drama bersiri Bidaah yang mengangkat tema ajaran sesat menarik perhatian netizen ketika ini.

Beliau juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, sebaik menghabiskan tontonan itu, terdapat dua perkara utama daripada drama berkenaan yang diulasnya dalam masa terdekat.

“Semalam, sukar untuk saya melelapkan mata. Entah tidak pasti sebabnya. Jadi, saya ambil keputusan untuk menonton drama yang mendapat liputan meluas di Malaysia dan negara jiran iaitu Bidaah.

“Ada dua perkara utama membuatkan saya berfikir panjang, pertama ialah kesesuaian tajuk drama ini dan kedua, gambaran keseluruhan drama yang mungkin memberi perspektif yang kurang tepat kepada orang awam tentang hakikat sebenar tasawuf dan tarekat yang murni menurut al-Quran dan al-Sunnah

“Insya-Allah, saya akan ulas dengan terperinci dalam masa terdekat,” tulisnya pada hantaran Facebook di sini hari ini.

Zulkifli turut mengucapkan tahniah kepada pengarah drama itu, Pali Yahya dan Erma Fatima sebagai penerbit.

Beliau juga memberi ucapan tahniah tersebut kerana kerja penghasilan drama dan filem yang disifatkan bukan kerja mudah.

“Saya tak mampu. Sebahagian besar kita tak mampu. Selain itu, apa jua kaedah penyampaian sama ada salah atau betul dari sudut persepsi dan tanggapan penonton, saya yakin niatnya baik.

“Bertitik tolak dari situ, kita nilai dengan adil, bukan nilai dengan emosi,” katanya.

Drama Bidaah diarahkan oleh Pali Yahya dan diterbitkan oleh produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.

Drama Bidaah yang ditayangkan menerusi platform penstriman Viu Malaysia pada 6 Mac lalu berkisarkan kehidupan pengamal ajaran sesat, Walid yang telah tersebar di sebuah perkampungan.

Walid dengan beraninya mengaku bahawa dirinya merupakan jelmaan Iman Mahdi kepada para pengikutnya.

Namun pihak penerbit drama bersiri Bidaah akur dengan teguran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bersedia untuk memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarakat.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya telah memanggil dan mengadakan pertemuan di antara pihak produksi dengan Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam.
“JAKIM telah membuat teguran dan memberikan penegasan kepada pihak produksi bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam,” katanya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial adegan Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul menyentuh janggut Faizal Hussein menggunakan kaki yang menjadi perdebatan ramai dalam media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here