Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditemani isteri Datin Seri Hamidah Khamis pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lebaran Kasih di Sri Satria, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 13 APRIL 2025

PUTRAJAYA – Cadangan bagi meminda kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dibuat secara bersemuka khususnya dengan setiap Ahli Parlimen di Semenanjung dan perlu diteliti bersama-sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bahkan pihak  pembangkang perlu terlibat sama dalam menentukan hala tuju cadangan tersebut.

“Apabila sampai ketika yang sesuai,  kita perlu berbincang bersama-sama ahli-ahli Parlimen dan pemimpin parti termasuk daripada pembangkang juga.

“Kita harus duduk dengan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai perkara ini,” katanya kepada media ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lebaran Kasih di Sri Satria, malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lebaran Kasih di Sri Satria, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 13 APRIL 2025

Majlis tersebut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bahawa rundingan bagi meminda kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dibuat secara bersemuka khususnya dengan setiap Ahli Parlimen di Semenanjung.

Malah, Fadillah berkata, pendekatan sama diambil Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dalam usaha meminda Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan Perkara 160 itu dilaksanakan bagi memasukkan Perjanjian Malaysia (MA63), Laporan Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, Barisan Nasional belum membuat keputusan berhubung cadangan menambah jumlah kerusi Parlimen untuk kedua-dua negeri tersebut.

Ia kerana, cadangan itu memerlukan penelitian yang menyeluruh melibatkan semua pihak berkepentingan.

“Kita belum meneliti kerana penelitian ini harus dilakukan dengan parti-parti komponen di dalam kerajaan,” katanya lagi.

Untuk rekod, kali terakhir berlaku persempadanan semula melibatkan kerusi Parlimen adalah pada 2006, dengan Sabah dan Sarawak kini masing-masing mempunyai 25 dan 31 Ahli Dewan Rakyat iaitu 56 kerusi atau kira-kira 25 peratus daripada 222 kerusi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here