KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz disifatkan sebagai tidak memahami undang-undang selepas menggesa siasatan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkaitan ucapan pada Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali yang juga peguam mendakwa, Mohamed Nazri tidak faham ucapan Tengku Maimun.
“Ia memperlihatkan kecetekan pemahaman terhadap niat serta ucapan sebenar Ketua Hakim Negara. Ucapan Tengku Maimun jelas berpandu pada semangat serta struktur asas Perlembagaan Persekutuan yakni konsep pengasingan kuasa.
“Cadangan pindaan yang diusul oleh Tengku Maimun adalah agar sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri tidak terlibat dalam proses pemilihan hakim-hakim adalah supaya institusi kehakiman tidak dinodai dengan persepsi campur tangan politik. Itu sahaja yang dicadang oleh Ketua Hakim Negara. Tidak lebih dari itu,” jelas beliau.
Menurutnya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) itu sepatutnya menyambut baik cadangan Tengku Maimun ini kerana Mohamed Nazri seorang yang berpengalaman dalam politik dan berpegang teguh kepada konsep keadilan dan kedaulatan undang-undang.
“Nazri juga gagal memahami Perlembagaan Persekutuan apabila menyatakan cadangan untuk tindakan tegas terhadap Ketua Hakim Negara. Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan jelas tentang langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya ada mana-mana hakim perlu diambil tindakan. Ia bukan sewenangnya boleh diambil tindakan.
“Ketua Hakim Negara yang ada kini amat dihormati, disegani dan merupakan benteng terakhir rakyat terhadap apa jua cubaan oleh mana-mana pihak tidak kira badan eksekutif atau legislatif. Adakah hanya kerana berkata apa yang difikir rakyat biasa, beliau dijadikan sasaran?” soalnya.
Mohamed Nazri sebelum ini dilaporkan menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat ucapan Tengku Maimun pada Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta baru-baru ini.
Beliau mendakwa Tengku Maimun mengeluarkan beberapa kenyataan yang bukan sahaja memalukan rakyat Malaysia malah memberi imej buruk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerajaan perlu ambil tindakan tegas terhadap Tengku Maimun – Nazri