Kalsom Noordin

MELAKA – Masyarakat khususnya di negeri ini diingatkan agar sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dalam menyediakan atau mengambil hidangan di rumah terbuka bagi mengelakkan pembaziran.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, meraikan Syawal selama sebulan dengan penganjuran rumah terbuka perlulah berpada-pada sesuai dengan tuntutan Islam itu sendiri.

Di pihak tuan rumah, pastikan penyediaan juadah sesuai dengan jumlah jemputan manakala tetamu pula perlulah bijak mengawal nafsu dan tidak mengambil segala hidangan melampaui had sehingga akhirnya makanan dibuang begitu sahaja.

“Janganlah jadikan rumah terbuka ini ‘lubuk’ pembaziran sehingga kita terlupa erti sebenar adalah untuk merapatkan silaturrahim sesama insan.

“Sebab itu saya syorkan penganjur rumah terbuka kenalah berbelanja ikut kesesuaian atau letakkan pekerja untuk pantau supaya tidak berlaku pembaziran yang akhirnya memberi banyak kesan buruk kepada kita,” katanya.

Kalsom (tengah) bergambar dengan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka DUN Pengkalan Batu di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, Melaka malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata demikian ketika ditemui media Majlis Rumah Terbuka DUN Pengkalan Batu di Kompleks Japerun Pengkalan Batu di sini malam tadi.

Kalsom diminta mengulas mengenai jumlah sisa pepejal di negeri ini sepanjang Ramadan lalu meningkat sebanyak 3.54 peratus atau 32,343.04 tan berbanding 31,199.39 tan direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka, Nor Zaki Md Nor dilaporkan berkata, sisa domestik menjadi penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 16,660.34 tan atau bersamaan 5.93 peratus.

Menurutnya, peningkatan janaan sisa sepanjang Ramadan tahun ini disebabkan pelbagai faktor termasuk penganjuran bazar-bazar di seluruh negeri, selain tahap kesedaran segelintir orang ramai berhubung pengurusan sampah yang masih kurang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here