TAWAU – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini diberitahu bahawa Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan atau Ijat yang meninggal dunia di Kolej Vokasional Lahad Datu pada Mac tahun lepas, mencuri wang untuk membeli kasut.

Tertuduh ke-11 dalam kes bunuh itu menerusi pernyataan saksinya berkata beliau mengetahui mengenai perkara itu selepas mangsa sendiri membuat pengakuan dan turut berjanji untuk tidak mencuri lagi.

“Ketika di bilik itu, baru saya tahu mangsa sudah mengaku curi duit tertuduh ketiga dan keempat dan dalam bilik itu ada tertuduh pertama, ketiga, keempat, kelima, keenam, ketujuh, kelapan, kesembilan, ke-10, ke-12, ke-13 serta beberapa pelajar, ada yang saya tidak tahu, saya nampak mangsa ditolak, tetapi saya tidak pasti siapa yang mula menolak.

“Saya juga ada ikut menolak mangsa, selepas itu saya duduk depan mangsa, saya tanya dia kenapa mencuri, mangsa cakap mahu beli kasut, dia berjanji tidak mencuri lagi,” katanya di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Pada 28 Februari lepas, mahkamah memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh ke-11 yang juga saksi pembelaan ke-13 memberitahu mahkamah bahawa dia berlawan satu lawan satu dengan mangsa ketika berada di bilik asrama 5 Belian.

“Mangsa yang mencadangkan satu lawan satu kepada kami bagi menyelesaikan perkara itu (kes curi wang), mangsa memilih berlawan dengan saya, sewaktu kami berlawan mangsa ada memukul saya di rusuk kiri, saya jatuh kesakitan, saya telah mengalah,” katanya lagi.

Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd Khusri tertuduh tidak bersetuju dengan cadangan bahawa dia memukul mangsa berkali-kali.

Sementara itu, semasa pemeriksaan semula oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki, tertuduh ke-11 memberitahu mahkamah bahawa Mohamad Nazmie Aizzat masih dalam keadaan kuat selepas berlawan satu dengan satu dengannya.  

Selain Batrisyia, kes pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif serta Ng Juhn Tao.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo. Perbicaraan bersambung esok. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here