KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu mempersoalkan layanan yang diberikan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di lapangan terbang seperti gambar yang tular di media sosial.
Sambil melahirkan rasa kecewa, ketuanya, Datuk Razali Idris berkata, gambar itu menunjukkan seolah-olah Ahmad Samsuri atau lebih dikenali sebagai Dr. Sam seorang pesalah besar, dipinggir, diawasi dan dipaksa menunggu seperti tiada maruah sebagai ketua kerajaan negeri.
Sedangkan, ujarnya, Dr. Sam bukan calang-calang individu sebaliknya merupakan seorang pemimpin negeri yang berintegriti, malah merupakan seorang pakar aeroangkasa dengan Doktor Falsafah (PhD) dari United Kingdom (UK).

Sehubungan itu, ujarnya, adalah mustahil Dr. Sam tidak memahami hal asas seperti kuasa imigresen Sabah dan Sarawak seperti yang dibangkitan beberapa pihak untuk mewajarkan tindakan ke atasnya sebelum ini.
“Isunya di sini bukan soal “tak faham prosedur” atau “salah faham tentang autonomi.”
“Isu sebenar ialah kenapa hanya beliau sahaja yang dikenakan tindakan sebegitu? Kenapa VIP lain, termasuk yang sedang menghadapi kes mahkamah, tidak pula diberi layanan serupa?
“Kalau benar ini hanya SOP biasa, mengapa hanya Dr Sam yang diarahkan menunggu, disekat dan ditandai? Mengapa perkara ini berulang kepada beliau?
“Apakah sebegini murah nilai seorang Menteri Besar di mata sistem yang kononnya mengutamakan “keselamatan negara”, tetapi jelas lebih menjurus kepada intimidasi politik?” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Sehubungan itu, Razali menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik untuk melihat isu terbabit dengan adil dan berperikemanusiaan.
Tegas beliau, Dr. Sam bukan seorang penjenayah dan beliau pemimpin yang terbukti bersih berdasarkan pelbagai laporan rasmi.
Sehubungan itu, katanya, institusi negara tidak seharusnya dibenarkan digunakan untuk mengaibkan lawan politik secara terang-terangan.
“Rakyat hari ini celik dan matang dalam menilai. Mereka tahu membezakan antara prosedur biasa dan tindakan yang bermotif politik.
“Yang paling penting, jangan biarkan institusi awam dijadikan alat untuk menjatuhkan maruah pemimpin hanya kerana perbezaan fahaman politik,” katanya.
Jelasnya, walaupun menghormati kuasa autonomi Sabah dan Sarawak, namun dalam masa yang sama, keadilan dan layanan yang saksama perlu diberikan terhadap semua rakyat Malaysia, sama ada dari Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak.
“Apa yang berlaku ke atas beliau bukan disebabkan kejahilan terhadap peraturan, tetapi adalah manifestasi penguatkuasaan TCO secara selektif dan bersifat politik,” katanya. – MalaysiaGazette