Ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit menimbulkan kontroversi.

KUALA LUMPUR – Penyiaran gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit bersebelahan bendera negara China yang berkibar di atas sebuah kapal dalam cetakan sebuah akhbar berbahasa Cina disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada negara.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, penyiaran gambar itu merupakan satu bentuk sentimen anti-nasional.

Tegasnya, sama ada akhbar terbabit telah meminta maaf atau tidak, siasatan perlu dilakukan kerana ia bukan satu pembinaan negara, sebaliknya merupakan satu bentuk kemusnahan.

“Kepada editor Sin Chew Daily di manakah kesetiaan anda kepada negara? Tak kisah minta maaf. Ini subversif dan khianat. Suratkhabar ini mesti diharamkan. Apakah ini citra kewartawanan Cina di Malaysia? Sentimen anti-nasional.

“Media dan kewartawanan nasional tidak boleh berdiam diri. Ini bukan pembinaan negara. Tetapi kemusnahan negara. Minta maaf atau tidak. Larang akhbar ini. Majlis media, jika dan bila ia beroperasi, apa yang boleh, patut, mesti dilakukan? Soal siasat. Ini adalah pengkhianatan,” katanya di media sosial.

Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican

Media melaporkan, Sin Chew Daily telah memohon maaf atas ilustrasi di muka depannya yang mempunyai kesilapan apabila Jalur Gemilang tidak mempunyai anak bulan.

Dalam satu kenyataan, akhbar berbahasa Cina itu mengaitkannya dengan “kesilapan teknikal”.

Ia berkata, versi digital ilustrasi itu telah dipinda serta-merta, dan versi yang dipinda akan diterbitkan semula esok dalam cetakan.

“Kami berasa kesal dan kecewa atas kesilapan itu, dan bagi pihak semua kakitangan Sin Chew, kami memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Kesilapan berlaku ketika Presiden China Xi Jinping tiba di Malaysia pada 6.30 petang hari ini untuk lawatan negara tiga hari atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Bulan sabit pada Jalur Gemilang mewakili agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Bila lambang/jata negara dihina, dibuat bahan jenaka maka akan musnahlah negara tak lama lagi?

    Hasrat dan cita2 untuk menjajah negara dari dalam akan tercapai dalam waktu terdekat?

    Palestin kedua tak lama lagi?

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here