KUALA LUMPUR – Anak Datuk Seri Najib Razak melahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan bekas Perdana Menteri itu memberikan penghormatan terakhir kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Datuk Mohd Nazifuddin berkata, rakyat Malaysia turut meluahkan rasa syukur serta gembira dengan kehadiran Najib pada saat negara dilanda perasaan sedih atas pemergian Perdana Menteri kelima.
Serentak itu, berdasarkan sentimen semasa dan pelbagai pandangan dalam masyarakat beliau memohon agar kerajaan membenarkan tahanan rumah kepada Najib.

“Saya percaya keadilan sebenar haruslah mengutamakan aspek kemanusiaan di mana alternatif tahanan rumah dapat dipertimbangkan sebagai satu langkah yang adil dan bersesuaian.
“Dengan langkah membenarkan ayahanda menjalani baki hukuman di rumah mampu memberikan impak yang lebih positif dalam kalangan hati rakyat yang akan melihatkan kerajaan madani mempunyai adab dan simpati yang tinggi.
“Semoga ayahanda terus teguh dalam memperjuangkan keadilan yang tertangguh ini. Kasih saya, kasih rakyat bersama ayahanda,” katanya dalam kenyataan.
Najib diberi pelepasan oleh Mahkamah Tinggi untuk memberi penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri kelima di Masjid Negara hari ini.
Najib, 72, dibenarkan menghadiri istiadat itu ketika perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bekas Ahli Parlimen Pekan ini sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran mengikuti istiadat kepada Jabatan Penjara Malaysia hari ini.
Susulan itu, Sequerah menangguhkan perbicaraan pada jam 9.50 pagi supaya Najib dapat pergi ke Masjid Negara.
Bekas Perdana Menteri itu tiba di Masjid Negara sekitar pukul 10.35 pagi.
Pada awalnya, kenderaan jenis Proton kenderaan utiliti sukan (SUV) X70 warna kelabu yang membawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu berhenti di lobi utama, namun, lima minit kemudian kenderaan berkenaan bergerak ke pintu belakang Masjid.
Allahyarham Abdullah yang berusia 85 tahun menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara kira-kira pukul 7.10 malam tadi akibat masalah pernafasan.- MalaysiaGazette