Gambar hiasan.

ALOR GAJAH – Padah menolak seorang warga emas berusia 85 tahun sehingga  terjatuh dan patah tulang belakang dua minggu lalu, seorang lelaki ditahan polis di Masjid Tanah kelmarin.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkenaan tempat letak kereta antara mangsa dan suspek lelaki berusia 65 tahun.

“Kejadian berlaku pada pukul 10.30 pagi 4 Februari lalu apabila mangsa mendakwa berlaku perselisihan faham berkaitan tempat letak kereta dengan suspek yang tidak dikenali di hadapan sebuah pasar raya di Masjid Tanah.

“Mangsa yang menunggu di dalam kereta dengan cara membuat parkir bertindih dikatakan telah menghalang suspek untuk keluar dari petak parkir menyebabkan tercetusnya insiden itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah

Tambah Ashari, suspek kemudiaan dikatakan telah menolak pengadu dengan kuat menggunakan tangan menyebabkan mangsa terlentang ke atas jalan sehingga mengalami kecederaan patah tulang belakang.

“Susulan itu hasil siasatan yang dijalankan, suspek telah ditahan Ahad lalu dan diteman selama dua hari sehinga 16 April ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast