KUALA LUMPUR – Pengawal peribadi Yang di-Pertua Negeri Sabah, meninggal dunia awal pagi ini selepas 10 jam bertarung nyawa akibat kemalangan jalan raya di Kampung Laya-Laya, Jalan Sulaman, Tuaran, Sabah semalam.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata, Allahyarham Koperal Azfar Arshad yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX dalam perjalanan ke tempat kerja di Istana Negeri sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah pikap jenis Isuzu D-Max.
“Saya sempat menziarahi jenazah dan bertemu keluarga Allahyarham sebelum bertolak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri pengkebumian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” katanya dalam Facebook beliau, hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dalam kenyataannya berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat pasukan khususnya warga Polis Kontinjen Sabah. – MalaysiaGazette