MELAKA – Perjalanan berbasikal seorang lelaki warga emas menuju ke kedai makan berakhir tragedi apabila maut dirempuh sebuah kereta ketika sedang melintas jalan di Jalan Penghulu Jaabar, Bukit Katil di sini tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, mangsa, Abu Osman, 81, yang tinggal di Jalan Sidang Hassan Bukit Bayan, Bukit Katil meninggal dunia ditempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan berbasikal dari Kampung Bukit Bayan menuju ke kedai makan di Bukit Katil.
“Sebaik sampai di tempat kejadian, mangsa yang datang dari lorong sebelah kiri jalan kampung telah menyeberangi jalan.
“Pada masa sama, sebuah Proton Persona dipandu pesara guru lelaki berusia 77 tahun dari arah Bukit Katil menuju ke Duyong tidak sempat brek dan melanggar mangsa kerana jarak yang terlalu dekat menyebabkannya maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mayat kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
“Polis sedang mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”tambahnya. – MalaysiaGazette