Pengarah Strategi Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad

KUALA LUMPUR – Tindakan menyiarkan imej Jalur Gemilang tanpa lambang anak bulan adalah satu kesilapan besar dan penghinaan terhadap kedaulatan negara.

Menurut Pengarah Strategi PKR Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad, walaupun permohonan maaf telah dikeluarkan oleh Sin Chew dan kesilapan itu diklasifikasikan sebagai isu teknikal namun insiden sedemikian tidak wajar berlaku.

Lebih-lebih lagi daripada organisasi media arus perdana yang mempunyai pengalaman luas, katanya.

Malah, katanya, organisasi sememangnya mempunyai sistem editorial cukup efisyen yang seharusnya ketat dan teliti.

“Jalur Gemilang bukan sekadar grafik di muka depan. Ia adalah lambang kedaulatan dan maruah negara. Saya amat kecewa dan terkejut sebenarnya. 

“Anak bulan dalam bendera bukan sekadar elemen hiasan ia mewakili kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, ketidakhadiran simbol penting itu bukan sahaja mencerminkan kecuaian malah menunjukkan kegagalan asas dalam memahami erti identiti nasional.

“Kegagalan menghormati Jalur Gemilang adalah satu penghinaan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya hari ini.

Tegas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor itu, semangat kenegaraan tidak cukup dengan retorik semata-mata sebaliknya perlu diterjemah melalui tindakan termasuk rasa hormat terhadap simbol-simbol rasmi negara.

Beliau turut menggesa semua pihak agar lebih berhati-hati dan sensitif dalam menangani perkara melibatkan simbol kebangsaan supaya kejadian seumpama ini tidak berulang.

“Jangan asyik ulang kemudian mohon maaf. Ini tidak sepatutnya berlaku dari awal lagi,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, syarikat akhbar Sin Chew Daily telah memohon maaf atas ilustrasi di muka depannya yang mempunyai kesilapan apabila Jalur Gemilang tidak mempunyai anak bulan.

Dalam satu kenyataan, akhbar berbahasa Cina itu mengaitkannya dengan “kesilapan teknikal”.

Ia berkata, versi digital ilustrasi itu telah dipinda serta-merta, dan versi yang dipinda akan diterbitkan semula hari ini dalam cetakan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Salah Jalur Gemilang kesilapan memalukan, mohon maaf sudah tidak memadai – Teo

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast