BUKIT MERTAJAM – Seorang pesara wanita terpaksa berputih mata selepas wang miliknya berjumlah RM764,511 lesap diperdaya sindiket penipuan ‘phone scam’ kelmarin.
Mangsa berusia 73 tahun dikatakan mula terjerat selepas menerima panggilan daripada satu nombor telefon yang mendakwa polis dari Balai Polis Pahang semasa berada di rumahnya jam 9 pagi pada 18 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, suspek mendakwa mangsa terlibat dalam satu kes penggubahan wang haram dan pelbagai kes lain berkaitan jenayah.
Katanya, suspek menakutkan mangsa kononya akan melakukan tangkapan atas kesalahan tersebut sebelum memberitahu mampu membantu wanita itu menyelesaikan kes berkenaan.
“Suspek kemudian meminta wanita itu memberikan maklumat perbankan untuk tujuan semakan sebelum mangsa memberitahu butiran akaun banknya dan telah menerima beberapa mesej pengesahan OTP (kata laluan sekali guna).
“Wanita itu mula berasa curiga pada bulan ini apabila suspek masih menghubunginya selain semakan penyata akaun banknya mendapati ada 59 transaksi pindahan wang berjumlah RM764.511 ke dalam enam akaun bank berbeza tanpa pengetahuannya,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah Helmi, selepas kehilangan wang tersebut baru wanita itu menyedari dirinya terjerat dalam sindiket penipuan sebelum tampil membuat laporan polis kelmarin.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette