Zulkifli Bujang
Zulkifli Bujang

JOHOR BAHRU – Tindakan akhbar Sin Chew Daily yang menyiarkan imej Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit bukan mencabar nilai kenegaraan dan identiti nasional.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zulkifli Bujang berkata, perbuatan itu juga berisiko menimbulkan keresahan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Visual yang tidak tepat terhadap Jalur Gemilang adalah suatu kecuaian besar dan mencerminkan kegagalan pihak editorial akhbar tersebut dalam memahami serta menghormati sensitiviti nasional.

“Sehubungan itu, satu siasatan segera dan menyeluruh dilaksanakan pihak berkuasa, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Ini berasaskan kemungkinan pelanggaran di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap individu atau pihak bertanggungjawab dalam organisasi tersebut yang telah meluluskan penyiaran imej berkenaan.

Bersatu ujarnya, menyeru agar semua pihak media sentiasa peka terhadap sensitiviti agama, perlembagaan dan simbol-simbol kenegaraan yang menjadi asas kepada keharmonian negara ini.

“Malaysia tidak boleh dikompromi dengan sebarang bentuk penghinaan, kecuaian atau pengabaian terhadap identiti nasionalnya,” tegas Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru itu.

Media sebelum ini melaporkan, syarikat akhbar Sin Chew Daily telah memohon maaf atas ilustrasi di muka depannya yang mempunyai kesilapan apabila Jalur Gemilang tidak mempunyai anak bulan.

Dalam satu kenyataan, akhbar berbahasa Cina itu mengaitkannya dengan ‘kesilapan teknikal’.

Ia berkata, versi digital ilustrasi itu telah dipinda serta-merta dan versi yang dipinda akan diterbitkan semula hari ini dalam cetakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast