JOHOR BAHRU – Legenda badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei hari ini secara rasmi menjadi Duta Sukan Johor selepas menandatangani perjanjian (MoU) dengan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).
MoU berkenaan ditandatangani di sini pada satu majlis yang turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah dan Pengarah MSNJ, Ekmaluddin Ishak.
MoU berkenaan memahat sejarah tersendiri apabila seorang lagi legenda sukan terkemuka dilantik sebagai Duta Sukan Johor selepas bekas pemain ragbi antarabangsa, Sonny Bill Williams, awal bulan ini.
Chong Wei pada sidang media selepas MoU tersebut berkata, tumpuannya selepas dilantik bukan sahaja menumpukan kepada sukan badminton tetapi juga berkongsi pengalaman sebagai atlet untuk semua bidang sukan.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu akan bekerjasama dengan MSNJ dan melihat perkara yang boleh dibantunya.
“Saya bukan sahaja duta untuk sukan badminton sahaja tetapi semua sukan juga saya akan bantu. Saya akan memberi galakan kepada generasi muda khususnya ahli sukan dan berharap sukan negeri ini boleh bergerak lebih maju ke hadapan,” katanya.
Chong Wei berkata, disiplin adalah perkara paling penting dan beliau sentiasa mengingatkan para atlet untuk menjaga disiplin jika mahu menjadi atlet yang baik.
“Saya juga akan kongsi jatuh bangun perjalanan kerjaya saya, bagaimana saya bersemangat kembali selepas saya jatuh, saya banyak belajar daripada atlet terkemuka dunia, jadi saya nak kongsi pada anak-anak muda di sini pula,” ujarnya.
Sebagai Duta Sukan Johor, Chong Wei akan memainkan peranan penting dalam sesi motivasi bersama atlet muda, program kemasyarakatan dan promosi inisiatif pembangunan sukan negeri.
Pelantikan itu satu pengiktirafan tertinggi kepada Chong Wei atas sumbangan beliau yang luar biasa dalam sukan badminton serta dedikasinya dalam membimbing dan memberi inspirasi kepada generasi muda.
Beliau juga akan terbabit secara aktif dalam program pembangunan belia, klinik sukan serta inisiatif bimbingan.
Pengalamannya yang luas dan pengaruh antarabangsa dimiliki beliau akan meningkatkan lagi reputasi Johor sebagai kuasa sukan tanah air.
Sementara itu, Ekmaluddin berkata, pelantikan Duta Sukan Johor adalah bersifat kolaborasi yang mana mereka akan mengenal pasti sukan berpotensi tinggi untuk dibangunkan.
“Kita akan lihat pelan pembangunan sukan negeri dan prestasi semasa atlet kita, kemudian kita akan susun program bersesuaian serta bengkel latihan pembangunan.
“Kami yakin Datuk Lee Chong Wei mempunyai motivasi bukan sahaja untuk menjadikan seorang atlet yang baik tetapi menjadi insan yang baik juga,” katanya.- MalaysiaGazette