KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan pemaju, Jayyid Land Sdn. Bhd. meneruskan pembinaan bagi Fasa 3 – Blok SOHO dan Fasa 2 – Blok A dan B di J Satine, Wangsa Maju.
DBKL dalam kenyataannya berkata, kebenaran itu selepas pihaknya berpuashati dengan perancangan serta pengesahan dari aspek keselamatan yang dikemukakan.
Katanya, DBKL telah menerima Laporan daripada Kemajuan Perunding Bebas bertarikh 24 Februari 2025 yang disediakan oleh Jurutera Profesional Bertauliah.
“Laporan ini mengandungi beberapa cadangan dan turut disokong oleh jurutera-jurutera bebas yang terlibat dan turut mendapat pengesahan dari segi aspek keselamatan dan kestabilan bangunan.
“Sehubungan itu, DBKL telah berpuashati dengan perancangan serta pengesahan dari aspek keselamatan yang dikemukakan dan bersetuju membenarkan pihak pemaju meneruskan pembinaan bagi Fasa 3 – Blok SOHO dan Fasa 2 – Blok A dan B,” katanya.
Sementara itu DBKL berkata, kerja-kerja bagi Fasa 1 – Blok C dan D hanya boleh dimulakan selepas kerja-kerja pengukuhan asas dan pembaikan struktur disempurnakan sepenuhnya.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga telah menetapkan, pihak perunding jurutera projek perlu mengemukakan Laporan Kemajuan Bulanan dan Laporan Penyiapan Kerja Pembaikan yang telah disemak dan disahkan oleh Perunding Bebas kepada DBKL pada setiap hujung bulan.
Katanya, pemaju, Jayyid Land Sdn. Bhd., juga telah diarahkan untuk mengadakan sesi libat urus bersama pembeli-pembeli unit J. Satine serta agensi-agensi berkaitan termasuk Pejabat Ahli Parlimen Wangsa Maju, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Penerangan dalam tempoh dua (2) minggu selepas tarikh pengeluaran Notis Berhenti Kerja yang terkini.
“DBKL komited untuk memastikan segala tindakan yang diambil dalam isu pembangunan J. Satine ini adalah berteraskan kepada prinsip akauntabiliti, keselamatan, ketelusan dan integriti.
“Selain itu, DBKL juga akan terus memastikan pemantauan rapi terhadap pelaksanaan pembaikan serta kemajuan projek ini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan semua pihak,” katanya.
Sebelum ini, DBKL mengeluarkan arahan henti kerja susulan keretakan pada struktur shear wall, tiang dan lantai pada unit-unit yang berada di tingkat 8 dan ke atas di Blok C bangunan tersebut.
Arahan itu dikeluarkan menerusi notis kepada pihak perunding di bawah seksyen 70B(2), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).– MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: