Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.

KUALA LUMPUR – Ketua polis balai yang mengambil dadah di pusat hiburan di Pandan Perdana, Ampang Jaya, Selangor telah dipindahkan ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, arahan pertukaran tugas terhadap lelaki berusia 43 tahun itu telah dibuat pada hari sama pegawai itu ditahan iaitu 18 April lalu.

“Pegawai ini bertugas di sebuah balai polis di bawah IPK Kuala Lumpur dan akan dikenakan tindakan tatatertib oleh Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. 

“Pada hari kejadian, seramai 17 orang keseluruhannya (ditahan) dan salah seorang itu adalah pegawai polis berkenaan yang disahkan positif (dadah) hasil ujian saringan air kencing.

“Seperti mana yang saya beritahu sebelum ini, tindakan tegas akan diambil. Tindakan (tatatertib) menyusul kerana ambil dadah dan positif itu sudah menjadi kesalahan jenayah.

“Untuk pegawai ini, arahan telah dikeluarkan pada tarikh sama (ditahan) cuma lewat pada waktu malam dia ditukarkan ke jawatan kosong di IPK Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Rusdi, siasatan pastinya akan dijalankan daripada setiap sudut dan beliau juga mengingatkan sebagai anggota polis mereka tidak boleh mengunjungi pusat hiburan.

“Berada di pusat hiburan tidak boleh kecuali bertugas, itu arahan khusus kepada semua pegawai dan anggota tidak boleh pergi berhibur, jika untuk bekerja mesti mendapatkan arahan daripada ketua,” ujarnya.

Semalam media melaporkan, seorang ketua polis balai kantoi mengambil dadah ketika berhibur di pusat hiburan di Pandan Perdana, pada Jumaat lalu.

Ujian air kencing ke atas lelaki berusia 43 tahun itu mengesahkan wujud empat jenis bahan terlarang dalam tubuhnya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here